Politik dan Pilihanraya

Pas Jangan Lupa Akhbar Nyamuk



Tahap kesedaran parti Pas terhadap peranan dan tanggungjawab media massa sungguh tinggi dan membanggakan sejak akhir-akhir ini. Perubahan pandangan Pas mengenai media massa arus perdana kini juga sesuatu yang yang mengejutkan. Siapa sangka pada satu sewaktu dulu Pas pernah menganjurkan pembakaran (salah satu akhbar arus perdana), tetapi kini sudah dapat duduk semeja pula dengan akhbar berkenaan.

Mungkinkah perkembangan ini berkat perubahan kepimpinan Pas (dari konservatif kepada moderate) yang melanda dalam parti itu kebelakangan ini. Jika diperhatikan hubungan Pas dengan media mula menjadi jernih semula sewaktu Almarhum Fadzil Mohd. Noor menjadi presiden parti itu. Sebelum ini Pas sentiasa mencurigai kepada ‘tanggungjawab’ media arus perdana yang semestinya menjadi propagandis kepada parti kerajaan.

Banyak kata nista dan ejekan Pas kepada media perdana. Media taghut, alat Yahudi, lidah syaitan dan banyak lagi dilemparkan oleh Pas seolah-olah mereka tidak pernah kenal siapa media arus perdana itu sebenarnya.

Lantaran itu Pas mengamalkan sikap tutup pintu kepada media massa berkenaan. Laporan mengenai kegiatan Pas hanya disiarkan oleh akhbar miliknya (Harakah) dan juga akhbar-akhbar kecil atau pun oleh majalah tidak berkala yang diterbitkan oleh aktivis media yang kebetulan menjadi penyokong pembangkang.

Kemuncak kepada konfrantasi Pas dengan media arus perdana, menyebabkan Pas pernah melarang akhbar perdana daripada datang membuat liputan muktamar tahunan mereka. Gara-gara itu wartawan arus perdana terpaksa menjadi pencuri atau pengintip untuk mendapat maklumat atau berita tentang Pas.

Begitu pun Pas berhak dan mempunyai alasan kuat kenapa mereka bertindak demikian. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana media arus perdana berkenaan selain menjadi propagandis parti pemerintah mereka juga jelas melanggar tata cara (kod etika) kewartawanan yang seharusnya mereka hormat. Seolah bila berhadapan dengan Pas mereka langsung tidak memperdulikan tentang prinsip freedom of press.

Bagaimana pun apabila Fadzil Noor menjadi presiden Pas, keadaan mula berubah. Almarhum mengambil pendekatan berbaik dan bersikap terbuka dengan media massa. Hasil daripada tindakan itu akhirnya media massa arus perdana dapat menerima Pas dan sebaliknya Pas dapat menerima akan peranan dan juga ‘dunia’ surat khabar yang sedemikian rupa.

Usaha untuk memesrakan akhbar arus perdana terus berjalan hingga ke hari ini. Untuk itu berbagai aktiviti atau majlis dijalankan oleh Pas dalam memahami dan juga mendedahkan diri kepada media berkenaan. Pas tampaknya begitu menghormati akhbar harus perdana yang menjadi musuh sebelum ini.

Penerimaan dan hubungan baik Pas dengan media ini boleh dilihat sewaktu Pas sedang mengumpul bahan dan maklumat mengenai kekalahan mereka di dalam pilihan raya umum lalu. Sewaktu Pas membuat bedah siasat berhubung kekalahan teruknya itu wartawan akhbar arus perdana itu dipanggil untuk mendapatkan input dari perspektif media massa.

Hal ini tentu jarang berlaku atau tidak berlaku langsung pada dekad-dekad lalu. Bukan sahaja terbatas kepada acara itu, tetapi banyak acara lain yang melibatkan media massa, seperti makan malam bersama wartawan, sembang dengan wartawan dan sebagainya. (Cuma anugerah kewartawanan sahaja belum dibuat lagi). Pas seperti terhutang budi pula kepada media arus perdana dalam usaha untuk mengislahkan parti mereka.

Salah satu usaha yang berterusan dan menjadi tradisi ialah majlis berbuka puasa dengan wartawan dan pengarang kanan akhbar arus perdana terpilih. Usaha ini dilakukan sejak beberapa tahun lalu dan seakan menjadi tradisi di dalam Pas. Pada majlis ini wartawan dan pengarang kanan (terpilih) dipangguil untuk berbuka puasa dengan pemimpin tertinggi Pas.

Misalnya untuk tahun ini acara itu telah diadakan pada 18 Oktober lalu. Mungkin banyak wartawan dan pengarang kanan yang diundang. Namun di antara pengarang kanan yang hadir, Khalid Mohd, (Utusan) Steven Gan (malaysiakini) dan wartawan kanan The New Starits Time dan Berita Harian. Mereka ini adalah undangan tetap pada majlis ini. Tidak pula dipastikan apakah wartawan kanan dan pengarang kanan dari akhbar China turut dipanggil atau pun hadir. Namun yang jelas wartawan kanan dari akhbar India tidak dijemput.

Melihat kepada inisiatif Pas ini ia membanggakan, namun sedikit menimbulkan rasa terkilan. Semacam ada layanan atau keperihatinan double standard atau berkasta di dalam hal ini. Kemesraan Pas itu tidak merata dan bertompok. Nampaknya mereka terlupa untuk menjemput sama wartawan atau pengarang dari akhbar nyamuk (tabloid).

Apakah relevensi Pas berbuat demikian – meninggalkan wartawan dari akhbar nyamuk. Apakah di dalam minda Pas peranan dan fungsi akhbar nyamuk kepada perjuangan mereka tidak memberi banyak keuntungan? Sepatutnya ini tidak berlaku. Kerana jika diukur kepada peranan dan budi media ini dalam membantu perjuangan Pas, khasnya memberi ruangan kepada pemimpin mereka, rasanya mereka lebih besar dan kerap daripada akhbar arus perdana.

Mungkin dari penilaian sudut intelektual Pas, berita akhbar nyamuk tidak menggemparkan. Ia tidak boleh merubahkan minda dan juga belenggu pemikiran umum. Kerana pengedarannya juga tidak meluas dan pengaruhnya tidak besar. Kita akui hakikat itu. Tetapi itu sepatutnya tidak perlu dijadikan kriteria oleh Pas dalam melayani wartawan. Sebaliknya apa yang mereka harus utamakan ialah peranan media ini dalam membantu mereka.

Pas seharusnya tidak lupa kepada budi kecil akhbar nyamuk ini. Jika diukur dan dinilai secara jujur akhbar nyamuk ini ternyata lebih memberi ruang kepada Pas di dalam membantu perjuangannya. Ambil sahaja contoh akhbar Buletin Demokrasi boleh dikatakan setiap keluarannya menyiarkan berita Pas.

Apakah Pas sedar kebanyakan pemimpin mereka berkokok di dalam akhabr ini. Mahfuz Omar, Sallehuddin Ayub, Dr. Lo’ Lo’ Ghazali, Dr. Mariah Mahmud hatta Nasharuddin Mat Isa dan Abdul Hadi Awang sendiri mendapat tempat yang istimewa di dalam akhbar ini. Saya tidak fikir akhbar arus perdana akan bersedia memberi ruang seluas akhbar ini kepada pemimpin Pas di dalam menyuarakan komenter atau apa-apa pandangan mereka berhubung politik.

Tidak cukup itu, cuba Pas perhatikan dan ingat pada saat menjelang pilihan raya umum. Akhbar manakah atau puak manakah yang membantu Pas. Yang bersedia menyiarkan muka-muka calon Pas dan juga aktiviti Pas? Memberikan laporan yang positif kepada setiap ceramah Pas?

Barangkali Pusat Penyelidik Pas perlu membuat kajian berhubung hal ini. Janganlah kerana mereka akhbar nyamuk, maka mereka dikesampingkan begitu sahaja. Tahulah sedikit membalas budi orang kepada kita. Iya, mereka tidak perlu diingati, dilayani atau diberi minuman dan makanan dan duduk bersama, tetapi sebagai parti yang membawa akhlak Islam, seharusnya mereka tidak lupa budi kecil ini.

Kurang pasti saya, apakah Presiden, Timbalan Presdiden, Setiausaha Agung, Ketua Dewan Pemuda Pas dan Ketua Dewan Muslimah Pas menyedari atau tidak akan kealpaan ini. Janganlah pula apabila sudah dapat duduk semeja dengan wartawan besar, wartawanan kecil dilupakan begitu sahaja. Kalaulah Pas merasakan canggung untuk menjemput wartawan kecil duduk bersama wartawan besar, buatlah majlis berasingan. Kalau tidak mahu diadakan di hotel bertaraf tiga bintang dengan kadar bufet RM45.00 pun, buatlah digerai mamak di tepi jalan yang kadar ‘bufetnya’ RM3.50 sudah mencukupi.

Sesungguhnya wartawan dan penulis bukan mahu sangat diraikan, (rai atau tidak mereka tetap bertugas) tetapi cukup kalau sekadar mengingati mereka. Dan janganlah kerana mereka akhbar nyamuk, maka mereka tidak perlu digeruni. Ingat, di negara ini yang banyak membunuh manusia bukan gajah atau harimau, tetapi nyamuk Aedes.

Ramai Sertai 'Kelab Penyokong' Bukti PAS Parti Multinasional

KOTA BHARU, 27 Okt (Hrkh) – Penubuhan Jawatankuasa Kelab Penyokong PAS Nasional membuktikan parti itu bukan bersifat perkauman seperti dianggap pihak tertentu sebelum ini.

Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Ustaz Mujahid Yusof Rawa berkata, PAS sebenarnya sebuah parti multinasional kerana ia bukan didokongi satu bangsa sahaja.
“Menyedari sokongan daripada pelbagai kaum terutama masyarakat Cina diperlukan maka Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat telah menubuhkan Jawatankuasa Kelab Penyokong PAS Nasional khusus untuk mereka yang berminat.

“Hasrat menubuhkan kelab itu timbul setelah saya mendapati ramai kaum bukan Islam yang ditemui di seluruh negara berminat untuk bersama PAS dalam memperjuangkan hak dan keadilan sejagat,” katanya pada sidang media di sini, baru-baru ini. Menurutnya, kelab penyokong itu berperanan sebagai anggota bersekutu PAS.

Beliau juga berkata, lujnah terbabit juga sekarang dalam proses menubuh kelab-kelab di peringkat negeri terutama di negeri-negeri yang ramai penduduk Cina seperti Pulau Pinang, Perak dan Melaka.

Manakala negeri yang telah menubuhkan kelab tersebut iaitu Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

“Setakat ini sambutan masyarakat Cina terhadap penubuhan kelab ini amat memberangsangkan, misalnya di Negeri Sembilan, baru beberapa hari sahaja kita tubuh sudah ada lebih dari 400 ahli.

“Selain masyarakat Cina kita juga mengalu-alukan penyertaan masyarakat India dan lain-lain yang berminat dengan perjuangan kita untuk menyertai Kelab Penyokong PAS ini,” ujarnya.

Kata beliau dengan perkembangan itu hasrat untuk mewujudkan suasana politik tanpa ada prasangka antara kaum di Malaysia dan akan melahirkan masyarakat yang lebih harmoni dan saling bantu-membantu.

Hadir sama pada sidang media itu ahli Jawatankuasa Induk Kelab Penyokong PAS iaitu pengerusi, Hu Pang Chaw (Kelantan), timbalan pengerusi, Cheok Jiun Hong (Negeri Sembilan), naib pengerusi I, Yau Con Seng, naib pengerusi II, Lim Chi Shyan, setiausaha, Ng Chai Him (Negeri Sembilan) dan bendahari, Tan Wee Kiam (Terengganu).

Penaung kepada Kelab Penyokong PAS itu ialah, Dato' Anuar Tan Abdullah, Ustaz Mujahid dan Dr Rosli Yaakub. Hu Pang Chaw berkata, pihaknya sedang merancang satu acara besar untuk menyambut Tahun Baru Cina yang akan diadakan di Kuala Lumpur melibatkan ahli dari seluruh negara.

“Aktiviti lain yang akan diadakan termasuk program kemasyarakatan, program untuk remaja, bercorak kebudayaan, pendidikan dan lain-lain program ke arah perpaduan dan kesedaran politik,” jelas beliau. - Wajdi Mayusoh

Islam Hadhari Dicipta Bertujuan Capai Impian Politik


PASIR MAS, 25 Okt (Hrkh) – Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dikatakan terpaksa mencipta pendekatan Islam Hadhari selepas mendapati perjuangan Islam yang dibawa PAS semakin mendapat tempat di kalangan penduduk Melayu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, slogan itu menjadi strategi terbaik dicipta Umno untuk berdepan dengan PAS pada pilihan raya umum lalu.

“Jelas Islam Hadhari diperkenalkan Umno adalah untuk menghadapi PAS sahaja dan bukannya ikhlas untuk laksana Islam dalam pentadbiran negara. Dulu Umno selalu melaungkan Islam tidak boleh berpolitik, tetapi sekarang masyarakat tidak boleh lagi menerima konsep politik lain agama lain.

“Kita lihat hari ini hampir tidak ada lagi pemimpin Umno yang berani mengatakan Islam lain politik lain. Ini membuktikan kita berjaya mengubah minda rakyat,” katanya pada ceramah Ghuzwatul Badar di sini, baru-baru ini.

Mohd Amar juga berkata, bekas Gabenor Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pernah mengiktiraf pentingnya PAS dalam perjuangan Islam dan orang Melayu di Malaysia.

Kata beliau, PAS telah banyak menegur dan memperbetulkan kerajaan dalam membela Islam dan menjaga kepentingan bangsa Melayu. “Kerana itu amat penting memastikan Kelantan terus dipimpin PAS kerana di sinilah merupakan kubu dan benteng terakhir perjuangan Islam di Malaysia,” ujarnya.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hanya melalui kuasa politik tuntutan Islam dapat dilaksanakan di sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Katanya, politik yang dimaksudkan ialah politik Islam, yang menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai teras. “Politik kebangsaan yang tidak berteraskan Islam seperti Umno tidak akan diterima, malah menyimpang daripada Islam sebenar,” ujarnya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, memperingati peristiwa peperangan Badar sangat penting bagi mereka yang berada dalam jemaah Islam.

Kata beliau, peristiwa Badar mengajar kita erti kesabaran, keyakinan dan pergantungan yang sepenuhnya kepada Allah. Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob, Setiausaha Badan Perhubungan, Takiyuddin Hassan, Ketua Pengelola Dakwah Halaqat, Ustaz Muhammad Mustafa dan wakil-wakil rakyat.

Sebelum itu, program tadarus al-Quran diadakan menjelang majlis berbuka puasa. Solat Tarawih yang diadakan di dewan itu diimamkan Adun Kadok, Haji Mohd Shukri Abdul Rahman. - Wajdi Mayusoh

Wa fm: 300 Pertahankan Kebebasan Bersuara Dalam Hujan

SHAH ALAM - Akhirnya, saluran radio Wa fm telahpun tamat siarannya pada pukul 1 pagi, 15 Oktober 2005 (Sabtu). Dari pukul 9 malam 14 Oktober 2005 (Jumaat), ramai pendengar setia telah berkumpul di ibu pejabat ntv 7 di Hicom Glenmarie, Shah Alam, menghadiri Candlelight Vigil "Bersama Wa fm di Langit yang Indah" yang dikelola Parti Keadilan Rakyat, untuk menemani Wa fm pada 4 jam terakhir siarannya. Saluran ini diminati ramai kerana rancangan perbincangan isu semasanya, "Lampu Isyarat Balik Kerja" yang disiarkan setiap petang, telah mempelopori ruangan kebebasan bersuara yang dulu tidak pernah dijumpa di negara ini.


Setelah berita mengenai penutupan siaran Wa fm diumumkan pada 15 September 2005, rakyat seluruh negara temasuk media massa, masyarakat umum, parti-parti politik dan para pendengar amat prihatin terhadap nasib Wa fm, dan cuba mengelakkan pemergiannya melalui usaha pelbagai pihak. Namun, apabila Datuk Seri Lim Keng Yaik, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi mengumumkan di Parlimen bahawa beliau telah meluluskan penutupan Wa fm, malah ia tidak dapat dielakkan "sungguhpun sejuta orang menandatangan untuk menentangnya", orang ramai mula memahami bahawa nasib malang ini tidak dapat dielakkan lagi.

Walaupun kedudukan syarikat ntv 7 susah dicari, ramai tetap menghadiri Candlelight Vigil ini sepanjang 4 jam ia dijalankan, yang lama pulang tetapi yang baru terus datang. Dijangka jumlah mereka yang datang telah mencecah 300 orang, demi menunjukkan sokongan dan motivasi kepada para DJ Wa fm.

Selain daripada majoriti hadirin yang merupakan pemuda pemudi, ramai juga ibu bapa yang datang bersama kanak-kanak. Kesungguhan para pendengar untuk menyokong kebebasan bersuara langsung tidak ditewaskan oleh hujan renyai-renyai yang turun. Candlelight Vigil ini terus berlangsung sehingga pukul 1:30 pagi.

Sdr Low Chee Chong, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan adalah pengelola utama program ini. Beliau telah menjemput para pekerja media, ahli-ahli politik, wakil-wakil persatuan, kakitangan Wa fm dan orang ramai untuk memberi ucapan demi mempertingkatkan semangat pada malam itu.

Selain daripada para pendengar setia Wa fm, yang menghadiri Candlelight Vigil tersebut termasuk Naib Presiden, Sdr Sivarasa Rasiah; Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Lau Weng San; YB Fong Po Kuan, Ahli Parlimen Batu Gajah; Ng Swee Lim, ADUN Sekinchan, Selangor; Anthony Loke Siew Fook, ADUN Lobak, Negeri Sembilan; Tang Ah Chai, Ketua Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Selangor (SCAH), wakil pemuda dan wanita SCAH, Yong Khai Peng, Editor Bahasa Cina Malaysiakini; Pengerusi Jawatankuasa Pertahankan SJKC Damansara (Asal); Lim Yew Soon, wartawan Yazhou Zhoukan (Asiaweek berbahasa Cina terbitan Hong Kong yang dimiliki bos Sinchew Daily) di Malaysia; komentar isu semasa Liew Chin Tong serta ramai lagi.

Tang Ah Chai berkata, sungguhpun Wa fm akan ditutup, tetapi saluran berbahasa Cina ini telah mendirikan piawaian baru untuk bidang penyiaran di Malaysia. Oleh yang demikian, walaupun malam ini menyedihkan, tetapi ia tetap penting. Wa fm tidak seharusnya dicampak ke dalam tong sampah sahaja. Sebaliknya, ia patut dijadikan piawaian untuk menguji tahap kebebasan bersuara dan masyarakat terbuka.


"Apabila orang lain bertanya tentang industri penyiaran di Malaysia nanti, kita boleh memberitahunya bahawa kita telah mencapai standard Wa fm. Jika mereka menanyakan tahap kebebasan bersuara di negara kita, kita boleh menjawab, kita telah mencapai standard "Lampu Isyarat Balik Kerja," ujar beliau.

Pemuda DAP telah membawakan sebuah kain rentang yang dicetak wajah 4 orang hos "Lampu Isyarat Balik Kerja" yang terkemuka iaitu Jingwen, Xiaohui, Youquan dan Weiqin, serta slogan "Semangat Kebebasan Bersuara Takkan Hilang". Orang ramai menurunkan tandatangan di atas kain rentang ini dan sekejap sahaja ia telah dipenuhkan tandatangan orang ramai.

Timbalan Ketua Eksekutif, Cik Huang bersama beberapa DJ termasuk Shiyu, Jingwen, Jiahui, Xiaohui, Youquan dan Weiqin bergilir-gilir datang ke pintu masuk ntv 7 untuk berterima kasih kepada para hadirin Candlelight Vigil serta sokongan yang diberikan sejak beberapa minggu lalu. Ada juga DJ yang menitiskan air mata.

Kehilangan sesuatu pastilah menyedihkan. Dalam 30 minit terakhir waktu siaran Wa fm, para DJ bersembang dengan jujur dan ikhlas bersama Timbalan Ketua Eksekutif, Cik Huang di dalam studio. Apabila DJ Xiaohui bertanya apakah perkara paling diingini tapi tidak mampu tercapai, Huang secara terus terang menjawab, "Meneruskan Wa fm!"

Para hadirin di Candlelight Vigil tersebut dapat mengikuti siaran Wa fm menerusi sebuah radio yang ditempatkan di pintu utama ntv 7. DJ Xiaohui kehilangan perkataan untuk seketika. Seketika yang senyap ini telah menyakitkan ramai. DJ Xiaohui terus countdown, orang ramai cuma tunggu dalam kesedihan.

Cik Huang berkata, "Wa fm merupakan anak kita. Ia memang sihat dari segi rohani, tetapi badannya telah letih dan perlu berehat. Hari ini kita bukan tamat, cuma bermulanya Countdown kepada masa siaran dimulakan semula setahun dari sekarang. Jika kita dapat memberikan ilham kepada media lain, bagi saya sudah amat memuaskan. Mohd Ibrahim Masrukin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif ntv 7 turut berasa sedih setelah ternampak begitu ramainya para pendengar yang datang menyalurkan sokongan, sehingga menuliskan perasaannya yang sepanjang 3 helai kertas kepada saya. Semoga beliau akan cuba sedaya upaya untuk menghidupkan saluan kita semula. Kita ucapkan ribuan terima kasih."

Beliau turut menjemput para pendengar melawat laman www.waonline.com.my.

Perhimpunan yang dilangsungkan selama 4 jam setengah dipenuhi bukan sahaja rasa suka dan duka, malah harapan terhadap masa akan datang. Para hadirin beberapa kali menyanyikan "lagu stesen", Tang Ah Chai juga mengajak semua menyanyikan "We Shall Overcome", untuk memupuk ideal terhadap mencapai kebebasan bersuara.

Apabila detik tepat pukul 1 pagi tiba, perjalanan Wa fm bersama rakyat Malaysia selama 2 tahun setengah telah sampai ke penghujungnya. Orang ramai gemuruh bertepuk tangan untuk memberi tabik hormat kepada para DJ. Ada di antara mereka yang telah mula menangis. Para DJ yang mengulungkan siaran terakhir yang bersejarah ini pula keluar bersalaman dengan orang ramai, menyanyi lagu-lagu seperti "Friendship Forever" bersama-sama, serta mengambil gambar untuk menjadikan kenangan sejati.

Cik Huang memuji para pendengar yang hadir untuk memberi sokongan sebagai pendengar yang bermutu, bukan yang menelefon untuk memenangi hadiah atau tiket konsert. Mesej ini jelas. Saluran-saluran radio kita telah menjadi sangat komersil, sehingga isu-isu semasa dielakkan secara total, dan waktu penyiaran dipenuhi rancangan-rancangan yang membosankan dan tidak bermutu.

Lilin terus menyala. Tindakan 300 orang telah menunjukkan satu kenyataan kepada pemerintah serta korporat besar, serta memaksa mereka mendengar desakan masyarakat madani (civic society), iaitu rakyat perlukan ruangan kebebasan bersuara. Dalil bahawa pendengar tidak meminati perbicangan isu-isu serius tidak tepat sekali.

Jika Wa fm hanya saluran komersil yang biasa, penutupannya tidak akan membawa kejutan yang begitu besar. Rancangan call-in isu semasanya "Lampu Isyarat Balik Kerja", yang pernah menjemput calon-calon dalam pemilihan parti MCA untuk "digoreng" oleh rakyat biasa semasa pemilihan parti MCA, memang telah membuka ruangan baru dalam sejarah Malaysia.

Satu-satunya rancangan politik secara call-in di Malaysia ini mendapat sambutan hangat sungguhpun tiada hadiah atau tiket konsert dapat dimenangi, seperti dikatakan Naib Presiden parti dan peguam hak asasi terkemuka, Sivarasa Rasiah, rakyat mendahagakan kebebasan bersuara. "Kita memerlukan lebih banyak stesen radio, bukan kurang lagi! Kita inginkan saluran radio yang bebas, bukan yang dikawal!"

YB Fong Po Kuan, MP Batu Gajah mendesak YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, jika ingin mendengar kebenaran, dengarlah Wa fm, kerana kedua-dua pandangan rakyat yang bersetuju atau menentang dasar negara boleh didapati. Ng Swee Lim, ADUN Sekinchan pula mencadangkan kepada Datuk Seri Ong Ka Ting, Presiden MCA, jika beliau berasa amat selesa berucap di Wa fm kerana terdapat kebebasan bersuara di sini, cubalah sedaya upaya menghidupkan semula Wa fm dalam masa setahun!

Zheng Ding Xian, timbalan ketua pengarang Sinchew Daily berkata, kita harus mula countdown untuk menantikan masa siaran Wa fm disambung semula setahun dari sekarang. Komentar isu semasa, Zheng Ming Lie menerangkan, kebebasan bersuara memang hak kita, yang tidak harus dilepaskan. Beliau tidak terlupa untuk menyindir, "Apa yang menteri tidak berani cakap, jom kita cakapkan untuk dia!"

Perdana Menteri kuku besi, Tun Datuk Seri Dr. Mahathir telahpun secara rasminya tinggalkan kita untuk dua tahun. Namun, setelah 22 tahun kebebasan diperkosa, ramai di antara rakyat Malaysia tidak lagi berani cuba menguji batasan kebebasan bersuara baru, kerana tidak sudi melompat keluar dari minda lama. Yang menggembirakan, masih ada segelintir di antara kita yang berani mencabar batasan, dan berjaya meluaskan lagi ruangan kebebasan bersuara.

Lebih daripada 11,256 orang telah menurunkan tandatangan di petisyen online, menyampaikan hasrat untuk memelihara hayat Wa fm kepada Datuk Seri Lim Keng Yaik, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi. Sivarasa menggalakan orang ramai terus membantah, menggerakkan lebih banyak orang, menghantar memorandum bantahan, untuk menyampaikan suara hati rakyat kepada pemerintah.

Candlelight Vigil yang dihadiri 300 orang akhirnya tidak dapat mengubah nasib malang Wa fm juga. Akan tetapi, ia telah membuka mata rakyat terutamanya masyarakat Tionghua bahawa perhimpunan tidak sama sekali dengan keganasan, seperti yang didakwa segelintir. Keinginan untuk kebebasan bersuara telah secara senyap diserap ke dalam kehidupan seharian.
`

Pertemuan Pemuda PAS dan Umno Turut Disertai Beberapa Parti Lain

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Hrkh) - Pertemuan antara Pemuda PAS dan Pemuda Umno yang dirancang lebih sebulan lalu turut akan disertai beberapa pergerakan pemuda dari parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).Menurut wakil Pemuda Umno, Idris Haron pertemuan yang dirancang akhirnya mendapat perhatian beberapa pergerakan pemuda parti komponen BN yang lain seperti Kongres India Malaysia (MIC), Pertubuhan Cina Malaysia (MCA) dan Parti Bersatu Dayak Sarawak (PBDS).
`
Sementara NGO yang akan terlibat setakat ini ialah dari Majlis Belia Malaysia (MBM), katanya.
`
Beliau yang juga ahli Parlimen Tangga Batu berkata demikian ketika ditemui di Parlimen di sini baru-baru ini.
`
Menurut beliau, setakat ini kedua-dua pihak (Pemuda PAS dan Umno) masih lagi berbincang berhubung format pertemuan selain intipati kepada pertemuan itu.
`
Setakat ini katanya pokok perbincangan dalam pertemuan itu berkisarkan kepada isu masalah sosial belia terutamanya gejala penagihan dadah.
`
Begitupun, Idris secara tegas menyatakan bahawa pertemuan itu bukanlah gelanggang untuk sesiapa menyatakan soal benar mahupun salah, tetapi lebih kepada mencari jalan menyelesaikan permasalah belia mutakhir ini.
`
"Kita tidak mahu lagi menyuarakan soal siapa salah siapa benar atau menunding jari.Ini masalah belia yang perlu semua pemimpin belia berbincang untuk menyelesaikannya," katanya lagi.
`
Dalam hal yang sama, beliau juga memberitahu Harakah bahawa pertemuan itu turut akan diserikan dengan hiburan untuk menarik lebih ramai remaja dan belia menyertainya.
`
Bagaimanapun ketika diminta menyatakan tarikh pertemuan Idris hanya memberitahu pertemuan akan dijalankan setidak-tidaknya selepas sambutan Hari Raya Puasa. - WAN NORDIN WAN YAACOB

Antara Kesedihan Pak Lah Dan Pilu Tok Guru


Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS merangkap MB Kelantan dijangka mengetuai rombongan pimpinan PAS untuk menziarahi jenazah Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood di Putrajaya jam 1 petang nanti. Tuan Guru turut dijangka menyampaikan takziah bagi pihak Tuan Guru Hj. Abd. Hadi dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa yan kedua-duanya berada di Mekah ketika ini.
`
Memang menjadi amalan sesama Islam dan malah diunjurkan oleh Rasulullah saw agar kita menziarahi saudara sesama Islam kita yang kematian ahli keluarga dan digalakkan agar mengucapkan takziah kepada mereka di atas kehilangan ahli keluarga yang dikasihi.
`
Tuan Guru pasti bertemu dengan Pak Lah dan pasti menyampaikan takziah disamping kata-kata perangsang dan nasihat. Mereka pasti bersalam-salaman disaat Pak Lah sekeluarga berduka dan bersedih. Insan mana yang tidak bersedih apabila kehilangan isteri yang disayangi, ibu yang disayangi, anak yang disayangi.
`
Namun segala-galanya telah ditakdirkan Allah swt sebagaimana firman Nya dalam surah al Mulk ayat 2:
`
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup kamu untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Ia Maha Berkuasa membalas amal kamu, lagi Maha Pengampun, bagi orang-orang yang bertaubat.
`
Pak Lah perlu reda dan terima perpisahan yang telah diputuskan oleh Allah swt ini, perpisahan sementara kerana selepas ini giliran Pak Lah dan kita semua yang lain pula untuk menyusul.
`
Cuma mudah-mudahan disaat sedih dan pilu ini, bersempena bulan Ramadhan al Mubarak ini semoga Allah swt turut menggerakkan hati Pak Lah. Tenunglah wajah Nik Aziz itu baik-baik, inilah raut wajah seorang ayah yang kehilangan anak, bukan kerana anakanya telah pergi sebagaimana Endon, tetapi anaknya dipenjara, ditahan tanpa bicara, tanpa peluang membela diri dan Pak Lah dalam bersedih perlu mengambil tahu dan peduli.
`
Si ayah bergelar Nik Aziz ini sedih dan pilu, remuk dan hancur hatinya merindui anaknya yang Pak Lah tahan sekian lama. Demikian juga isteri dan anak-anak kecil di rumah yang dari hari ke hari menunggu-nunggu dengan penuh harapan insan yang paling mereka sayangi. Takkanlah anak-anak yang tidak berdosa ini tergamak kita biarkan sekali lagi tanpa bapanya di hari umat Islam bergembira apabila tiba 1 Syawal kelak?
`
Endon telah pergi, mudah-mudahan Allah swt mencucuri rahmat ke atas rohnya. Bagi kita yang hidup pertangungjawaban kita kepada Allah swt terus-menerus dituntut. Adil atau zalimkah kita di atas dunia Nya ini?
`
Mudah-mudahan di bulan penuh barakah ini lembutlah hati Pak Lah sebagaimana lembut hatinya melepaskan Endon pergi ke hadrat Allah swt, lembutlah juga hatinya untuk tidak lagi membiarkan Nik Aziz sekeluarga bersedih dan pilu lagi, lembutlah hatinya untuk melihat anak-anak kecil, cucu Nik Aziz agar dapat berdakap dan berpelukan dengan bapa kesayangan mereka.
`
Perkenankanlah Ya Allah, Amin Ya Robbal Ala Min.- Roslan SMS
`

Muslimat PAS Anggap Rafidah Aziz Sudah Tidak Relevan

Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr Lo’ Lo’ Ghazali berkata, sudah sampai masanya Wanita Umno mengambil satu langkah proaktif untuk menggantikan ketuanya.
`
Ini katanya, kepimpinan Wanita Umno yang diketuai Dato’ Seri Rafidah Aziz tidak relevan malah kepimpinan yang ada sekarang bukan saja menjatuhkan imej Wanita Umno tetapi pimpinan wanita keseluruhannya. Katanya, Rafidah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri banyak menimbulkan kemelut yang tidak ada penyelesaian.
`
Ini dakwanya isu permit import (AP) yang dihadapinya kerana tidak ada ketelusan dan tidak ada ketegasan di pihak Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri.
`
Malah sebagai seorang menteri, Rafidah tidak menunjukkan tanggungjawab atas isu AP sehingga ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melahirkan rasa tidak puas hati mereka.
`
Selain itu katanya, tindakan Rafidah yang menangis di khalayak ramai (publik), sangat emosional menunjukkan memang tepat orang kata selama ini pimpinan wanita emosional.
`
“Selama ini kita cuba menyanggah dan sekarang ini kita tidak boleh kata apa-apa lagi.
`
“Apatah lagi ketua mereka dua kali menunjukkan emosinya, satu menangis dan satu lagi memeluk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di tengah-tengah orang ramai,” katanya.
`
Beliau berkata, sikap yang ditunjukkan Rafidah sangat memalukan.
`
Beliau juga membidas kalangan pimpinan wanita sendiri yang dilihat cuba pertahan dan melindungi Rafidah.
`
Katanya orang bawahannya tidak perlu menjaga Rafidah sebaliknya Rafidah yang menjaga mereka.
`
Sepatutnya orang di bawahnya lebih bijak dan katanya, wanita Umno jangan terlalu emosional mempertahankan ketua mereka.
`
“Lihatlah bagaimana muslimat PAS berani membuat pertukaran ketuanya dan ia tidak pun timbul masalah, kerana yang penting mereka ada wibawa sebagai pimpinan wanita,” katanya lagi.
`

Shahrizat Pangku Jawatan Menteri Wilayah Persekutuan


PUTRAJAYA 18 Oktober 2005 (Berita Harian) - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dilantik memangku jawatan Menteri Wilayah Persekutuan berikutan peletakan jawatan Tan Sri Mohd Isa Samad, berkuat kuasa kelmarin.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, peletakan jawatan Mohd Isa sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, semalam.
`
Perdana Menteri berkata, beliau sudah menerima surat peletakan jawatan itu kelmarin.“Yang ganti dia buat masa ini ialah Datuk Seri Shahrizat... pemangku menteri. Eloklah, (kerana) Shahrizat faham Wilayah Persekutuan... dia pun wakil rakyat Wilayah Persekutuan (Parlimen Lembah Pantai).
`
“Saya percaya Shahrizat dapat jalankan tugas dan pangku Kementerian Wilayah dengan baik. Sistem kita tidak benarkan Timbalan Menteri memangku. Yang memangku adalah menteri lain,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Biro Pengaduan Awam (BPA), semalam.
`
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman pula mengesahkan surat peletakan jawatan Mohd Isa itu diserahkan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkarnain Awang kepada Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, kelmarin.
`
Peletakan jawatan Mohd Isa dibuat selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno pada mesyuaratnya 7 Oktober lalu menolak rayuannya terhadap hukuman penggantungan sebagai ahli selepas bersalah dalam politik wang.
`
Mengenai tempoh Shahrizat memangku jawatan itu, Perdana Menteri berkata: “Selagi kita tak ganti, dia kena pangkulah,” katanya menyedari wartawan cuba mengaitkan jawapannya dengan kemungkinan rombakan Kabinet.
`
“Saya tak fikir lagi (untuk merombak Kabinet). Anda tahu, saya tidak akan memberitahu anda, tak payah nak tanya. Bila tiba masanya, saya akan umumkan juga,” katanya.
`
Perdana Menteri berkata, beliau sendiri belum memberitahu Shahrizat mengenai pemilihannya memangku tugas baru itu.
`
Mengenai penyambungan tugas Datuk Mahdzir Khalid sebagai pemangku Menteri Besar Kedah, Abdullah berkata, ini kerana Datuk Seri Syed Razak Syed Zain masih belum sihat lagi.
`
Ditanya mengenai desakan lima kesatuan sekerja kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya beliau tidak melanjutkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Zainol Abidin Abdul Rashid, beliau berkata, ia belum diputuskan.“Nanti saya bincang dengan Ketua Setiausaha Negara. Kita boleh bincang bila-bila,” katanya ketika diberitahu bahawa kontrak itu akan berakhir hari ini.

Umno Risau Dengan Perkembangan Pesat Dalam PAS

Sejak muktamar PAS yang lalu, barisan kepimpinan PAS yang baru kini sedang gigih berusaha membawa nafas baru dengan memberikan penekanan kepada dua pendekatan iaitu repackaging dan engagement (hubung jalin). PAS mahu dilihat sebagai parti yang mampu dan layak mengambil-alih teraju kuasa dari Umno. PAS mahu menguna pakai kaedah dakwah yang boleh mendekatkannya lagi dengan masyarakat sehingga memungkinkan masyarakat Malaysia memahami dan menerimanya.
`
Segala momokan dan gambaran buruk terhadap PAS selama ini yang dijelmakan oleh kerja-kerja jahat musuh-mushnya mahu dikikis dan dilenyapkan.
`
Setakat ini PAS kelihatan serius dalam usaha menjayakan pendekatan ini. Bersungguh memperkenalkan satu alternatif terhadap hiburan umpamanya dengan menganjurkan konsert alternatif baru-baru ini di Kota Bharu sempena pengisytiharan Majlis Perbandaran KB Bandaraya Islam telah mendapat ulasan dan reaksi yang positif dari semua pihak samada dari kawan mahupun lawan.
`
Mengadakan dialog dengan pihak polis contohnya, telah menonjolkan imej PAS sebagai parti keamanan, yang akur kepada undang-undang dan peraturan.
`
Mendekatkan diri dengan golongan artis melaui acara sukan bersama, berinteraksi dengan masyarakat pelbagai agama melalui majlis forum dan dialog, mendekati NGO termasuklah yang selama ini sangat vokal terhadap perjuangan PAS telah membina persepsi mesra rakyat, yang sudah pasti membawa banyak kesan positif terhadap parti itu.
`
Perubahan-perubahan seumpama ini apabila sahaja positif terhadap PAS maka suka tak suka ianya akan memberi kesan negatif pula terhadap musuhnya, iaitu Umno.
`
Dalam akhbar SUNDAY TIMES semalam ini Abdul Razak Ahmad menulis sebuah ulasan berkenaan perkembangan ini.
`
Salah seorang Naib Presiden Umno (yang tinggal dua setelah seorang digugurkan kerana rasuah politik) Muhyiddin Yassin memberikan reaksi negative, kata beliau: Pas has not changed in its basic objective (of a theocratic State). It is hypocrisy at the highest level.
(PAS tidak mengubah objektif utamanya (iaitu pembetukan sebuah negara teokratik). Ia sebenarnya hanyalah kepura-puraan tahap tertinggi.)
`
Reaksi Muhyiddin ini memang dijangka kerana takkanlah beliau mahu memperakui pencapaian pasti musuhnya. Namun menurut Abdul Razak:
But beneath the scepticism lies some worry, because Pas is nothing if not determined to see its reinvention strategy through.
(Sebenarnya disebalik pandangan dingin itu muncul kebimbangan, kerana PAS kelihatan begitu bersungguh-sungguh dalam menjayakan strateginya itu.)
`
Malah tambah Razak lagi dalam hal ini seorang ahli parlimen BN berkata:
Quite a number in Umno are concerned, because they did not expect Pas to be this serious in wanting to change
(Sebahagian mereka di dalam Umno sebenarnya bimbang, kerana mereka tidak menjangkakan yang PAS begitu serius dalam mahu membawa perubahan.)
`
Cumanya para pemimpin Umno sudah pastilah akan menyembunyikan kebimbangan ini. Dan dalam bertindak demikian kadangkala ulasan yang mereka keluarkan lucu bunyinya dan jika tidak berhati-hati ianya akan memakan diri.
`
Umpamanya Ketua Penerangan Pemuda Umno Azimi Daim terpaksa berkata:
We are happy that Pas is finally saying that pop concerts, which it deemed un-Islamic in the past, are all right. It allows us to approach the electorate and tell them that Umno was right all along.
(Kami gembira yang PAS akhirnya terpaksa akur yang konsert pop yang mereka pernah cap sebagai tidak Islamik itu, sekarang ini sudah boleh. Ini membuka ruang bagi kami untuk memberitahu kepada para pengundi bahawa sesunggunya dalam hal ini Umno betul sejak dari awal-awal lagi.)
`
Sebenarnya PAS terus menolak konsert yang tidak menzahirkan unsur-unsur ke Islaman. Yang mereka kemukakan baru-baru ini di KB adalah konsert alternatif yang jauh berbeza dari konsert pop anjuran Umno selama ini.
`
Takkanlah itu pun Azimi tak nampak, atau pura-pura buat tak nampak. Mana ada konsert pop Umno dimulakan dengan solat berjemaah, diasingkan antara lelaki dan wanita, mana ada!
`
Ketua Umno Kelantan Annuar Musa pula dipetik sebagai berkata:
Pas can do, we can do better. We can now organise concerts in the kampung, because we don't want entertainment events in Kelantan ending up a Pas monopoly.
(Apa yang PAS boleh buat, kita boleh buat lebih baik. Kita sedang menyusun untuk menganjurkan konsert di kampong-kampung kerana kita tidak mahu acara-acara hiburan hanya dibolot oleh PAS.)
`
Bercanggah sungguh antara pandangan Azimi dan Annuar. Kenyataan Annuar pula menunjukkan yang konsert Umno sebelum ini tidak betul kerana itulah beliau berkata Umno boleh buat yang lebih baik dari yang PAS lakukan.
`
Berserabut juga nampaknya antara sesama Umno, dan dalam hal ini siapa yang berani mengatakan yang Umno sebenarnya tidak bimbang. Namun sebagaimana ulasan Razak sesungguhnya pergelutan sebenar antara Umno dan PAS pada tahun 2008 kelak adalah berhubung isu-isu periuk nasi rakyat, rasuah, ketelusan, kecekapan sistem pengagihan, ekonomi, pekerjaan dan pendidikan.
`
Dan jelas dalam isu-isu ini Umno semakin tenat dan teruji. Jika PAS dapat menonjolkan pula Kelantan sebagai sebuah model negeri yang telus dan cekap, pemipinnya bersih dan tidak rasuah, disamping melahirkan berbagai lagi acara-acara alternatif yang tidak bercanggah dengan Islam, Umno perlu bersedia untuk mengucap selamat jalan kepada takhta kuasa yang diribanya selaman ini.
`
SILA KE BLOG ROSLAN SMS http://n32.blospot.com/