Politik dan Pilihanraya

Ramai Sertai 'Kelab Penyokong' Bukti PAS Parti Multinasional

KOTA BHARU, 27 Okt (Hrkh) – Penubuhan Jawatankuasa Kelab Penyokong PAS Nasional membuktikan parti itu bukan bersifat perkauman seperti dianggap pihak tertentu sebelum ini.

Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Ustaz Mujahid Yusof Rawa berkata, PAS sebenarnya sebuah parti multinasional kerana ia bukan didokongi satu bangsa sahaja.
“Menyedari sokongan daripada pelbagai kaum terutama masyarakat Cina diperlukan maka Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat telah menubuhkan Jawatankuasa Kelab Penyokong PAS Nasional khusus untuk mereka yang berminat.

“Hasrat menubuhkan kelab itu timbul setelah saya mendapati ramai kaum bukan Islam yang ditemui di seluruh negara berminat untuk bersama PAS dalam memperjuangkan hak dan keadilan sejagat,” katanya pada sidang media di sini, baru-baru ini. Menurutnya, kelab penyokong itu berperanan sebagai anggota bersekutu PAS.

Beliau juga berkata, lujnah terbabit juga sekarang dalam proses menubuh kelab-kelab di peringkat negeri terutama di negeri-negeri yang ramai penduduk Cina seperti Pulau Pinang, Perak dan Melaka.

Manakala negeri yang telah menubuhkan kelab tersebut iaitu Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

“Setakat ini sambutan masyarakat Cina terhadap penubuhan kelab ini amat memberangsangkan, misalnya di Negeri Sembilan, baru beberapa hari sahaja kita tubuh sudah ada lebih dari 400 ahli.

“Selain masyarakat Cina kita juga mengalu-alukan penyertaan masyarakat India dan lain-lain yang berminat dengan perjuangan kita untuk menyertai Kelab Penyokong PAS ini,” ujarnya.

Kata beliau dengan perkembangan itu hasrat untuk mewujudkan suasana politik tanpa ada prasangka antara kaum di Malaysia dan akan melahirkan masyarakat yang lebih harmoni dan saling bantu-membantu.

Hadir sama pada sidang media itu ahli Jawatankuasa Induk Kelab Penyokong PAS iaitu pengerusi, Hu Pang Chaw (Kelantan), timbalan pengerusi, Cheok Jiun Hong (Negeri Sembilan), naib pengerusi I, Yau Con Seng, naib pengerusi II, Lim Chi Shyan, setiausaha, Ng Chai Him (Negeri Sembilan) dan bendahari, Tan Wee Kiam (Terengganu).

Penaung kepada Kelab Penyokong PAS itu ialah, Dato' Anuar Tan Abdullah, Ustaz Mujahid dan Dr Rosli Yaakub. Hu Pang Chaw berkata, pihaknya sedang merancang satu acara besar untuk menyambut Tahun Baru Cina yang akan diadakan di Kuala Lumpur melibatkan ahli dari seluruh negara.

“Aktiviti lain yang akan diadakan termasuk program kemasyarakatan, program untuk remaja, bercorak kebudayaan, pendidikan dan lain-lain program ke arah perpaduan dan kesedaran politik,” jelas beliau. - Wajdi Mayusoh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home