Politik dan Pilihanraya

Mana satu nak nak ku pangkah dalam PILIHAN RAYA nanti?

Dihantar Oleh : annas

"Assalammualaikun Wrhm.Hwrkth.

Susah juga nak menilai yang mana satu jalan terbaik,sama ada nak pergi mengundike? atau berdiam diri je, tengok apa yang berlaku di depan mata. Tapi.. bila difikirkan balik dan rasa tanggung-jawab sebagai warga Malaysia perlu juga mengundi ni,inikan hak kita sebagai rakyat yang diberi kebebasan dalam menyokong, memilih, mengangkat, mendampingi, memberi amanah dan kepercayaan untuk memimpin negara kita.

Nak undi siapani ? nak pilih parti mana ni ? Takut juga terpangkah salah,buruk padanya.Pilihan Raya sekali je,takkan 2 kali,3 kali atau banyak kali selama 5 tahun.Lama juga...ya.

Kita nak undi yang mempertahankan maruah bangsa kita,mengangkat martabat dan kebenaran Islam,menyatukan rakyat berbilang-bangsa,budaya dan adat resam dan ada banyak lagi...

Nak memangkah kertas undi bukan susah,ambil pen dan kertas kemudian pangkah X.Tapi nak pilih siapa orangnya,apa partinya,susah juga ya.
Ada pengundi suka orangnya,partinya tak minat.Ada pengundi partinya tersangat minat,tapi calonnya....susah juga ya.Nak pilih macam mana ni.Nanti silap pangkah menyesal pula.Tunggu lagi 5 tahun,lama pulak tu..

Dekat pilihan raya ni,macam-macam janji,macam-macam nak buat projek,nak bangunkan itulah,nak bina inilah,nak yang itulah nak SEMUA KOT.kita sebagai rakyat harus berhati-hati dan berfikiran terbaik dalam memilih Pemimpin untuk mentadbir bumi Malaysia ini.

Silap pangkah macam mana pula ? Dalam kempen macam-macam nak dibuat,tapi bila selesai dan dapat kemenangan macam mana pula,Janji perlu dikotakan jangan biarkan rakyat tertunggu-tunggu..

Parti mana yang nak ku pilih? NAK ikut mereka takut pula tersilap langkah,nak pilih yang ini,boleh juga.Nak sertai yang itu,tak pasti pula...habis macam mana ni....nanti tak pilih yang terbaik,habis....menyesal menangis tiada kesudahan,ambil tisu lap je lah.Apa boleh buat,
Lain Kali PILIH yang boleh membina satu kehidupan kedamaian,membangun secara terbaik,bertolak-ansur dan teramat penting berlandaskan Alquran dan Sunnah.barulah Malaysia terbest.
Pilihan Raya agaknya bila?

Buat masani kita perlu memberi laluan.....macam-macam laluan yang terbina.Nanti esok bila dah bubar...kita berfikir secara matang dan terbuka luas dalam memilih Pemimpin yang terbaik.Mengotakan janji-janji membangunkan tanah ini dengan memegang satu AMANAH untuk rakyat ,Menghancurkan kemungkaran dan yang sewaktu dengannya,Membina semangat perpaduan bangsa dan memerintah berlandaskan undang-undang Islam melalui Alquran dan Sunnah.

NAK mengundi lah ni...nak pangkah mana?
Baik aku solat hajat dulu,
Dalam hati dah ada nak dipilih mana satu,cuma TAK NAK menyesal dan tersalah jalan...
Penilaian yang terbaik dalam berbagi parti dah banyak,kali ini kita pastikan mana jalan yang TERBAIK .

uNDI TU RAhsia....apa-apa pun boleh jadi rahsia..
cuma..aku nak pastikan keluarga aku pilih mana yang terbaik untuk dulu,kini dan SElama-lamanya.

Undi Hak KITA."

www.tranungkite.net

Judi Pada Pandangan pemimpin BN

Dalam akhbar THE STAR hari ini (23 Januari) ahli parlimen Umno kawasan Yan, Badruddin Amiruldin bertanya di dalam Dewan Rakyat semalam adakah sebagai sebuah negara Islam, Malaysia akan terus menggalakkan perjudian?

Kata beliau lagi berjudi ini boleh membawa manusia ke kancah amalan syirik, THE STAR melaporkan:

In the kampong, when people want to win numbers games, they go to see the bomoh and even make offerings to trees so that their numbers will come out winners. All this shows that gambling can make people carry out deviationist practices.

Di kampung, apabila seseorang ghairah mahu menang judi tikam nombor, mereka sanggup berjumpa bomoh dan sanggup membawa persembahan ke pokok-pokok, dengan harapan nombor yang mereka tikam akan naik. Semua ini membuktikan yang amalan berjudi itu boleh membawa kepada amalan-amalan sesat (syirik).

Badruddin tidak perlu membawa contoh amalan di kampung beliau, dalam hal ini cukup ayat-ayat Allah swt sebagai hujah dimana Allah telah berfirman dalam surah al Maaidah 90-91:

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?

Perbuatan terkutuk ini adalah dosa besar dan sudah pastilah berdosa juga mereka yang membenarkan amalannya samada secara langsung mahupun tidak langsung. Dan sebagaimana yang diduga Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Hilmi Yahya telah menjawab dengan mengatakan:

Gambling was a matter of individual choice.

Judi ini terpulang kepada pilihan individu.

Bermakna benar (sebagaimana yang Umno dakwa) negara ini adalah Negara Islam akan tetapi jenis negara Islam Malaysia ini adalah yang anjal sehingga ia membenarkan judi walaupun berdosa kerana ianya pilihan individu!

Dalam hal ini Badruddin, Hilmi termasuklah Pak Lah dan rakan-rakan, yang beragama Islam dan yang menjunjung dan mendaulatkan al Quran sebagai kalam Allah perlulah akur kepada firman Nya (al Baqarah 219):

Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.

Bersedialah untuk memikul beban ini sebagai pemimpin bila berhadapan dengan Allah swt di Hari Pengadilan kelak.

http://www.surau.ladang.net/

Bil penginapan hotel pemimpin Umno cecah ratusan ribu

Oleh MAZLAN JUSOH

KOTA BHARU, 25 Jan (Hrkh) - Sebelum ini Adun baru Pengkalan Pasir, Haji Hanafi Mamat yang menang dengan kewujudan banyak kes kontroversi 6 Disember lalu menyebut, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dun Pengkalan Pasir telah membawa banyak rahmat kepada penduduk Pasir Mas.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya.Hampir kesemua pemimpin utama BN dan Umno yang datang berkempen pada pilihan raya kecil itu sebenarnya tidak tinggal di kawasan mengundi, sebaliknya disyakki tidur di hotel bertaraf lima bintang, kata satu sumber.
Hotel terbabit difahamkan mempunyai ‘pent house’ yang mana kadar sewanya mencecah ribuan ringgit sehari, dakwanya.

Sedangkan pemimpin PAS yang datang membantu kempen tidur di rumah-rumah milik penduduk dan bilik gerakan dengan bertilamkan tikar, katanya.

Mereka bersesak-sesak di ruang yang sempit, bukan kerana tidak ada duit, sebaliknya berkorban untuk berjuang, tambahnya.

Menurut satu sumber, Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Razak dan Pengerusi Perhubungan Umno negeri-negeri lain juga disyakki menetap di hotel berkenaan.

Katanya, kos yang dibelanjakan pemimpin-pemimpin Umno terbabit didakwa melebihi angka ratusan ribu semasa berlangsung kempen pilihan raya kecil tersebut.

Bagaimanapun menurut sumber Umno pula bagi Timbalan Perdana Menteri kadar bayaran menginap di hotel sekitar RM10,000 satu malam adalah perkara biasa, dakwanya.

“Takkan pemimpin nombor dua negara tidak mempunyai kemudahan tempat tinggal yang bertaraf ekslusif dan international. Kalau sekadar belanja lebih RM100,000 tinggal di hotel untuk tempoh seminggu itu bukan perkara aneh,” katanya.

Namun soalnya, sebelum ini Timbalan Presiden Umno digambarkan bermalam di Pengkalan Pasir sepanjang kempen pilihan raya kecil itu berlangsung.

Seorang penduduk berkata, duit sebanyak itu (yang dibelanjakan untuk menginap di hotel) sekiranya dimanfaatkan bagi membantu rakyat miskin tentunya ia akan dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

“Lagi pun tok wakil (wakil rakyat) baru memberitahu dengan kemenangan BN secara keseluruhannya telah membawa banyak rahmat kepada penduduk. Rahmat apa kalau macam ini. Sejak menang di Pengkalan Pasir tidak nampak pun apa yang dijanjikan,” kata seorang penduduk di Pasir Mas.

Ideologi pisahkan agama dan politik punca bukan Islam makin berani

KOTA BHARU, 20 Jan (Hrkh) – Mursyidul Am PAS menganggap pemimpin bukan Islam semakin berani mendesak kerajaan menyemak undang-undang berkaitan pertukaran agama kerana ideologi memisahkan agama dan politik masih menjadi anutan pemimpin utama negara.

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, punca berlaku tuntutan seumpama itu kerana kefahaman pemimpin yang memisahkan agama dan politik dalam pentadbiran negara sudah merebak.
“Ini punca yang mendorong pemimpin bukan Islam berani mendesak kerajaan menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama. Pemimpin negara masih menganggap agama sekadar sembahyang, puasa, keluar zakat dan menunaikan ibadat haji semata-mata.

“Anutan itu dibiar berkembang sehingga sekarang, sedangkan agama mencakupi semua bidang dalam kehidupan manusia termasuk aspek politik,” katanya pada kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini, hari ini.

Semalam 10 menteri kabinet bukan Islam dilaporkan mengemukakan memorandum bersama kepada Perdana Menteri bagi meminta Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama.

Sebelum ini Presiden MIC, Dato’ Seri S Samy Vellu meminta kerajaan meminda perlembagaan sedia ada bagi memastikan hak orang bukan Islam di negara ini lebih terpelihara.

Isu itu timbul selepas berlaku kontroversi pendaki Everest, Sarjan M Moorthy atau Mohamad Abdullah memeluk Islam sebelum kematiannya tanpa pengetahuan isterinya yang masih beragama Hindu.

Desakan pindaan itu dibuat terhadap Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. Malah ada pihak berhujah pindaan itu sekiranya dibenarkan akan menjejaskan Artikel 3 yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, penyakit itu terus merebak kerana kefahaman asas politik yang dipisahkan daripada elemen agama.

Siapa pecah-belahkan perpaduan bangsa Melayu

Lujnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat

Prinsip asas demokrasi mengizinkan pergerakan politik berparti seperti yang diamalkan di Malaysia.

Selagi ideologi atau dasar parti tersebut tidak bercanggah dengan perlembagaan dan tidak mengancam keselamatan negara, hak rakyat untuk berpersatuan haruslah dihormati.

Kepelbagaian dalam gerakan politik di Malaysia mesti dianggap sebagai keindahan dan lambang kebebasan yang diharapkan oleh setiap umat manusia.

Ianya boleh menggalakkan persaingan dan dengan itu membuka jalan kepada idea inovasi dalam pemerintahan dan pengurusan.

Apa yang berlaku dalam senario politik di Malaysia adalah sesuatu yang amat mendukacitakan dan pada asasnya berpunca dari sifat tidak demokratik yang diamalkan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Meneliti daripada perkembangan sejarah, usaha memecahbelahkan umat Melayu bermula apabila UMNO ditubuhkan dalam tahun 1946.

Kecederungan UMNO dan pemimpinnya untuk menyerang pemimpin kemerdekaan Melayu yang lain daripada UMNO yang dilabelkan sebagai gerakan kiri, serta kesanggupan mereka untuk berrnaung di bawah imperialisme British menyebabkan penjajah British mempunyai rakan di Tanah Melayu dan membolehkan British berani menekan dan mengharamkan gerakan-gerakan politik selain UMNO.

PKMM diharamkan pada tahun 1948 sementara Hizbul Muslimin, terkubur akibat perisytiharan darurat dan pemimpinnya ditangkap sedangkan merekalah yang meniup semangat kemerdekaan di kalangan orang Melayu.

Umat Melayu berpecah sedangkan UMNO dan pemimpinnya hidup enak berkawankan penjajah kerana tujuan penubuhannya telah tercapai.

Hasilnya ialah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu sebagai menggantikan Malayan Union.

Adanya orang Melayu lebih dari satu parti setelah penubuhan Persatuan Islam Se Malaya (PAS) pada tahun 1951 adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan ekoran dari ketiadaan wadah perjuangan Islam. Ini membawa kepada saranan supaya ulama bersatu dalam satu pertubuhan.

Dari awal lagi ada pandangan di kalangan ulama termasuk dari UMNO supaya PAS tidak dikaitkan dengan mana-mana parti politik lain.

Dasar PAS juga berbeza dari UMNO yang ketika itu menolak perjuangan berasaskan isme (akidah).

Oleh itu pemimpin UMNO harus akur dengan keputusan majoriti ulama dan tidak menganggap kelahiran PAS itu sebagai permulaan perpecahan Melayu.

Inilah demokrasi yang UMNO banggakan, atau apakah mungkin UMNO mempunyai takrifan yang berasingan mengenai demokrasi?

Perkembangan selepas merdeka menggambarkan UMNO sebagai punca pecah belah orang Melayu hingga ke hari ini.

Akibat kekalahan UMNO dan Perikatan di Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya umum 1959, berbagai usaha diskriminasi terhadap kedua kerajaan negeri berkenaan telah dikenakan.

Akibatnya kerajaan PAS di Terengganu berjaya ditumbangkan secara tidak demokratik sementara rakyat di Kelantan diketepikan daripada arus pembangunan kebangsaan.

Ahli dan penyokong PAS di mana-mana juga menerima tekanan dari segi halangan penerimaan subsidi, penutupan peluang ekonomi, pertukaran tempat kerja, pelucutan jawatan imam, halangan terhadap penerimaan sebagai peneroka tanah rancangan dan sebagainya menyebabkan ahli PAS terpinggir.

Ketidakpuasan ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang menentang establishment dan sudah sewajarnya reaksi ini kita fahami.

Penggunaan media massa dalam menekan pergerakan parti PAS terus menerus meletakkan ahli PAS dalam kedudukan defensif.

Kekecohan dalam UMNO dan kegagalan dan ketidakmatangan UMNO menyelesaikan masalah dalamannya membawa kepada pengharaman UMNO dalam tahun 1987 dan berakhir dengan perpecahan perpaduan umat Melayu dalam UMNO.

Lahirlah apa yang dikenali hari ini sebagai Parti Melayu Semangat 46. Bukankah ini satu perpecahan hebat umat Melayu? Apakah PAS turut dipersalahkan?

Kekalahan besar UMNO dan BN dalam pilihanraya 1990 di Kelantan menyebabkan reaksi UMNO dan BN yang diluar dugaan sama sekali, serta menyerlahkan sifat anarki kepimpinan UMNO dan BN. Segala jenis subsidi di halang terutama kepada ahli dan penyokong PAS.

Ketidakpuasan hati berlaku di kalangan rakyat bawahan. Peruntukan geran per kapita yang menjadi tanggungjawab kerajaan Pusat juga dilewat-lewatkan, sementara pinjaman baru untuk berbagai projek pembangunan di bawah kerajaan negeri dinafikan.

Yang paling memalukan ialah pengujudan `kerajaan dalam kerajaan' melalui penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan yang menyaingi struktur dan fungsi kerajaan Negeri yang dipilih secara sah di semua peringkat.

Semua ini berlaku di negeri yang penduduknya adalah hampir semuanya orang Melayu.

Ketahanan umat Melayu/Islam Kelantan untuk tidak bangkit secara marah dan di luar kawalan, terhadap kerajaan Pusat adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Inilah kesan jangka panjang tarbiyah PAS kepada umat Melayu dan Islam di Malaysia.

Surat Saman ECM Libra Tidak Akan Menghentikan Husam Musa

Surat tuntutan dari ECM Libra tidak akan menghentikan Naib Presiden PAS, Husam Musa dari terus mendedahkan urusniaga-urusniaga yang boleh menjejaskan kepentingan negara.

Husam dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata, beliau akan mengeluarkan satu kenyataan lengkap mengenainya tidak lama lagi.

Husam mengulas surat tuntutan yang dibuat oleh syarikat ECM Libra yang diterimanya. Surat yang dibuat oleh syarikat guaman Bodipalar Ponnudurai Nathan dan ditandatangani oleh Fiona Bodipalar juga diterima Harakahdaily.

Mereka menyifatkan kenyataan Husam yang disiarkan Harakahdaily pada 29 Disember 2005 bertajuk "Bagaimana Khairy membeli saham ECM Libra?" sebagai fitnah kepada ECM Libra.

Kenyataan itu turut disiarkan dalam Malaysiakini.com, Malaysia-today.net dan juga Harakah versi cetak.

Berikut adalah kenyataan penuh Husam mengenainya:

KENYATAAN MEDIA

Surat tuntutan dari ECM Libra yang saya terima dari peguamnya pada 8 Januari 2006 tidak akan menghalang saya untuk terus mendedahkan uruniaga-urusniaga yang dilakukan kebelakangan ini yang boleh menjejaskan kepentingan negara.

Saya akan keluarkan satu kenyataan lengkap mengenai langkah-langkah kerajaan yang merugikan negara yang melibatkan perjanjian perdagangan penjualan saham-saham syarikat milik negara yang boleh menjejaskan kepentingan negara pada jangka panjang.

Penjualan saham Pantai Holding misalnya kepada syarikat milik Singapura adalah menyalahi garis panduan penggabungan dan pengambilalihan yang melibatkan pegangan asing melebihi 15 peratus.

Kebimbangan sama telah dinyatakan oleh Menteri Kesihatan sendiri yang meminta Unit Perancang Ekonomi (UPEN) mengkaji semula cara-cara untuk mendapatkan semula dua subsidari Pantai Holding kerana ia boleh menjejaskan negara ini sebagaimana yang disiarkan oleh akhbar Malay Mail 20 Disember 2004 lalu.

Kenyataan yang akan saya keluarkan nanti adalah lebih menyeluruh dan terpeinci.

Hasrat saya ialah untuk menjaga kepentingan negara dan perbuatan pihak berkenaan yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menjual aset-aset negara kepada pihak asing dapat dihentikan.

BOGEL..BOGEL...BOGEL...siapa lagi akan dibogel..

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB (Harahdaily.net)

BOGEL...BOGEL...isu bogel memanglah tak asing lagi meniti setiap bibir rakyat Malaysia dari yang muda hinggalah kepada yang tidak bergigi..Yang buta mahupun yang celik, sama-sama bincangkan isu bogel.

Kalau dulu, bogel dikaitkan dengan tayangan video lucah atau web porno..tetapi hari ini isu bogel dalam pengawasan pihak berkuasa, yang terlibat dalah anggota pihak berkuasa, yang mengarahkan juga anggota atasan pihak berkuasa.
Kalau dulu, kita semua mengharapkan pihak berkuasa yang bertindak terhadap banjingan yang menjualahan bogel atau lucah..hari ini pihak berkuasa yang menjadi dalang kepada tersebarnya klip video wanita Melayu yang dipaksa bogel sambil ketuk ketampi di dalam tahanan Balai Polis Petaling Jaya..

Bukan calang-calang rakaman video, dengan menggunakan teknologi terkini, kaedah intipan yang cukup hebat, tetapi tidak memerlukan kepada kamera video yang terlalu canggih seperti si pembuat video lucah, hanya perlu kuasa di tangan...sedikit kuasa yang rakus dengan nafsu serakah yang tanpa mengira siapa menjadi mangsa....

Semuanya dirakam, dari aksi mencangkung hinggalah sesudah memakai coli..Inilah kerjanya setelah dibayar gaji yang setiap tahun naik dan terus naik.Mentaliti terus menurun... Tak terfikirkan insan ini jika yang dirakam itu adalah saudara mara mereka, atau mungkin isteri mereka?Buat sesuka hati..

Alah, pak menteripun menyebelahi mereka..nak buat macam mana..salah masih dipandang sebagai tidak..inilah pengkhianatan tertinggi kepada bangsa sendiri, salahnya wanita itu hanya disyakki sebagai penagih dadah ketika ditahan polis di Damansara terdahulu sebelum itu..meskipun begitu wanita itu belum dibuktikan bersalah.

Yang membela terus dituduh penderhaka, tetapi yang membuat angkara tidak pun disalahkan, mahupun dikecam..Dalam isu ini, pihak berkuasa perlu lebih prihatin mendidik anggotanya supaya hormat dan ada rasa simpati kepada tahanan meskipun mereka itu mungkin sekali bersalah.

Sementara pihak pemerintah perlu peka kepada isu sebegini, kerana ianya boleh mengugat kesejahteraan dan kedamaian hidup bermasyarakat..

Jangan selepas pada kes ini, akan timbul lagi satu kes bogel sudahlah.