Politik dan Pilihanraya

Islam Hadhari Dicipta Bertujuan Capai Impian Politik


PASIR MAS, 25 Okt (Hrkh) – Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dikatakan terpaksa mencipta pendekatan Islam Hadhari selepas mendapati perjuangan Islam yang dibawa PAS semakin mendapat tempat di kalangan penduduk Melayu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, slogan itu menjadi strategi terbaik dicipta Umno untuk berdepan dengan PAS pada pilihan raya umum lalu.

“Jelas Islam Hadhari diperkenalkan Umno adalah untuk menghadapi PAS sahaja dan bukannya ikhlas untuk laksana Islam dalam pentadbiran negara. Dulu Umno selalu melaungkan Islam tidak boleh berpolitik, tetapi sekarang masyarakat tidak boleh lagi menerima konsep politik lain agama lain.

“Kita lihat hari ini hampir tidak ada lagi pemimpin Umno yang berani mengatakan Islam lain politik lain. Ini membuktikan kita berjaya mengubah minda rakyat,” katanya pada ceramah Ghuzwatul Badar di sini, baru-baru ini.

Mohd Amar juga berkata, bekas Gabenor Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pernah mengiktiraf pentingnya PAS dalam perjuangan Islam dan orang Melayu di Malaysia.

Kata beliau, PAS telah banyak menegur dan memperbetulkan kerajaan dalam membela Islam dan menjaga kepentingan bangsa Melayu. “Kerana itu amat penting memastikan Kelantan terus dipimpin PAS kerana di sinilah merupakan kubu dan benteng terakhir perjuangan Islam di Malaysia,” ujarnya.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hanya melalui kuasa politik tuntutan Islam dapat dilaksanakan di sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Katanya, politik yang dimaksudkan ialah politik Islam, yang menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai teras. “Politik kebangsaan yang tidak berteraskan Islam seperti Umno tidak akan diterima, malah menyimpang daripada Islam sebenar,” ujarnya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, memperingati peristiwa peperangan Badar sangat penting bagi mereka yang berada dalam jemaah Islam.

Kata beliau, peristiwa Badar mengajar kita erti kesabaran, keyakinan dan pergantungan yang sepenuhnya kepada Allah. Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob, Setiausaha Badan Perhubungan, Takiyuddin Hassan, Ketua Pengelola Dakwah Halaqat, Ustaz Muhammad Mustafa dan wakil-wakil rakyat.

Sebelum itu, program tadarus al-Quran diadakan menjelang majlis berbuka puasa. Solat Tarawih yang diadakan di dewan itu diimamkan Adun Kadok, Haji Mohd Shukri Abdul Rahman. - Wajdi Mayusoh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home