Politik dan Pilihanraya

Siapa pecah-belahkan perpaduan bangsa Melayu

Lujnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat

Prinsip asas demokrasi mengizinkan pergerakan politik berparti seperti yang diamalkan di Malaysia.

Selagi ideologi atau dasar parti tersebut tidak bercanggah dengan perlembagaan dan tidak mengancam keselamatan negara, hak rakyat untuk berpersatuan haruslah dihormati.

Kepelbagaian dalam gerakan politik di Malaysia mesti dianggap sebagai keindahan dan lambang kebebasan yang diharapkan oleh setiap umat manusia.

Ianya boleh menggalakkan persaingan dan dengan itu membuka jalan kepada idea inovasi dalam pemerintahan dan pengurusan.

Apa yang berlaku dalam senario politik di Malaysia adalah sesuatu yang amat mendukacitakan dan pada asasnya berpunca dari sifat tidak demokratik yang diamalkan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Meneliti daripada perkembangan sejarah, usaha memecahbelahkan umat Melayu bermula apabila UMNO ditubuhkan dalam tahun 1946.

Kecederungan UMNO dan pemimpinnya untuk menyerang pemimpin kemerdekaan Melayu yang lain daripada UMNO yang dilabelkan sebagai gerakan kiri, serta kesanggupan mereka untuk berrnaung di bawah imperialisme British menyebabkan penjajah British mempunyai rakan di Tanah Melayu dan membolehkan British berani menekan dan mengharamkan gerakan-gerakan politik selain UMNO.

PKMM diharamkan pada tahun 1948 sementara Hizbul Muslimin, terkubur akibat perisytiharan darurat dan pemimpinnya ditangkap sedangkan merekalah yang meniup semangat kemerdekaan di kalangan orang Melayu.

Umat Melayu berpecah sedangkan UMNO dan pemimpinnya hidup enak berkawankan penjajah kerana tujuan penubuhannya telah tercapai.

Hasilnya ialah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu sebagai menggantikan Malayan Union.

Adanya orang Melayu lebih dari satu parti setelah penubuhan Persatuan Islam Se Malaya (PAS) pada tahun 1951 adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan ekoran dari ketiadaan wadah perjuangan Islam. Ini membawa kepada saranan supaya ulama bersatu dalam satu pertubuhan.

Dari awal lagi ada pandangan di kalangan ulama termasuk dari UMNO supaya PAS tidak dikaitkan dengan mana-mana parti politik lain.

Dasar PAS juga berbeza dari UMNO yang ketika itu menolak perjuangan berasaskan isme (akidah).

Oleh itu pemimpin UMNO harus akur dengan keputusan majoriti ulama dan tidak menganggap kelahiran PAS itu sebagai permulaan perpecahan Melayu.

Inilah demokrasi yang UMNO banggakan, atau apakah mungkin UMNO mempunyai takrifan yang berasingan mengenai demokrasi?

Perkembangan selepas merdeka menggambarkan UMNO sebagai punca pecah belah orang Melayu hingga ke hari ini.

Akibat kekalahan UMNO dan Perikatan di Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya umum 1959, berbagai usaha diskriminasi terhadap kedua kerajaan negeri berkenaan telah dikenakan.

Akibatnya kerajaan PAS di Terengganu berjaya ditumbangkan secara tidak demokratik sementara rakyat di Kelantan diketepikan daripada arus pembangunan kebangsaan.

Ahli dan penyokong PAS di mana-mana juga menerima tekanan dari segi halangan penerimaan subsidi, penutupan peluang ekonomi, pertukaran tempat kerja, pelucutan jawatan imam, halangan terhadap penerimaan sebagai peneroka tanah rancangan dan sebagainya menyebabkan ahli PAS terpinggir.

Ketidakpuasan ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang menentang establishment dan sudah sewajarnya reaksi ini kita fahami.

Penggunaan media massa dalam menekan pergerakan parti PAS terus menerus meletakkan ahli PAS dalam kedudukan defensif.

Kekecohan dalam UMNO dan kegagalan dan ketidakmatangan UMNO menyelesaikan masalah dalamannya membawa kepada pengharaman UMNO dalam tahun 1987 dan berakhir dengan perpecahan perpaduan umat Melayu dalam UMNO.

Lahirlah apa yang dikenali hari ini sebagai Parti Melayu Semangat 46. Bukankah ini satu perpecahan hebat umat Melayu? Apakah PAS turut dipersalahkan?

Kekalahan besar UMNO dan BN dalam pilihanraya 1990 di Kelantan menyebabkan reaksi UMNO dan BN yang diluar dugaan sama sekali, serta menyerlahkan sifat anarki kepimpinan UMNO dan BN. Segala jenis subsidi di halang terutama kepada ahli dan penyokong PAS.

Ketidakpuasan hati berlaku di kalangan rakyat bawahan. Peruntukan geran per kapita yang menjadi tanggungjawab kerajaan Pusat juga dilewat-lewatkan, sementara pinjaman baru untuk berbagai projek pembangunan di bawah kerajaan negeri dinafikan.

Yang paling memalukan ialah pengujudan `kerajaan dalam kerajaan' melalui penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan yang menyaingi struktur dan fungsi kerajaan Negeri yang dipilih secara sah di semua peringkat.

Semua ini berlaku di negeri yang penduduknya adalah hampir semuanya orang Melayu.

Ketahanan umat Melayu/Islam Kelantan untuk tidak bangkit secara marah dan di luar kawalan, terhadap kerajaan Pusat adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Inilah kesan jangka panjang tarbiyah PAS kepada umat Melayu dan Islam di Malaysia.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home