Politik dan Pilihanraya

Bagaimana Menantu PM Boleh Beli Saham Bernilai Lebih RM9 juta?

Oleh Husam Musa

Seksyen berita perniagaan, akhbar New Straits Time, Business Time, muka 4 bertarikh 28 Disember 2005 melaporkan pembelian saham sebuah syarikat perunding pelaburan, ECM Libra oleh menantu Perdana Menteri, Encik Khairy Jamaluddin sebanyak 12.9 juta saham atau bersamaan 3% saham dengan harga RM 9.2 juta.

Ia satu perkembangan yang menarik atas beberapa sebab;

a. Inilah pertama kali Khairy memiliki kepentingan secara langsung dalam syarikat selepas beliau bergelar menantu Perdana Menteri.

Image hosted by Photobucket.com
b. ECM Libra kebelakangan ini terlibat dalam menasihati penjualan saham beberapa syarikat, antaranya saham Southern Bank Berhad oleh keluarga diraja Selangor dan penjualan saham Pantai Holdings kepada syarikat dari Singapura, Parkway Holdings yang banyak menimbulkan kontroversi.

c. Bagaimana Khairy membiayai pembelian saham tersebut. Khairy, sebagai menantu Perdana Menteri, harus menjelaskan kepada masyarakat bagaimana beliau memperolehi saham ECM Libra tersebut, seperti; samada melalui pinjaman bank atau melalui wang peribadi beliau sendiri atau melalui apa-apa komisyen, jika ada, dari ECM Libra di atas apa juga peranan beliau yang mungkin ada, dalam proses penjualan saham Pantai kepada Parkway.

Peranan ECM Libra Image hosted by Photobucket.com

Berbalik kepada peranan ECM Libra dalam penjualan saham syarikat Malaysia kepada syarikat Singapura. Ada beberapa pertanyaan sekitar penjualan ini. Antara lain;

a. Bagaimana Menteri Kewangan dengan mudah memberikan kelulusan terhadap penjualan tersebut. Sehingga kini, tiada penjelasan terbuka Kementerian Kewangan terhadap isu ini, meskipun 31% pegangan syarikat Malaysia telah dilepaskan kepada syarikat asing, satu jumlah yang besar dan melibatkan sektor yang strategic bagi negara ini.

i. Pertama, Pantai Holdings terlibat dalam perniagaan sektor kesihatan atau perubatan yang menerima banyak subsidi dari kerajaan Malaysia.

ii. Kedua, Pantai Holdings memiliki anak syarikat, Pantai Medivest dan Fomema yang diberikan konsensi beberapa projek kerajaan, antara lain projek Total Hospital Information System (THIS) bagi menguruskan data-data hospital serta pesakit di seluruh Malaysia. Data ini amat sensitive dan strategic bagi negara ini dan ia boleh terlepas kepada pihak lain melalui pemilikan syarikat seperti disebutkan.

Selain itu, Pantai Holdings mengendalikan tujuh buah hospital di Malaysia,

iii. 31% saham Pantai Holdings telah dibayar dengan harga RM311.58 juta oleh Parkway. Dari jumlah ini, berapakah komisyen yang diterima oleh ECM Libra? Adakah ECM Libra berhasrat mengumumkan pendapatan mereka dari yuran perundingan penjualan tersebut?Adakah pendapatan itu telah diagihkan? Adakah pemegang saham baru seperti Khairy akan mendapat keuntungan tidak langsung dari pendapatan yuran perundingan penjualan tersebut? Adakah jika pemegang saham baru akan mendapat apa-apa faedah dari pendapatan perundingan penjualan saham itu, ia tidak merupakan satu pelan yang telah dirancang lebih awal?

iv. Siapakah yang terlibat memujuk Menteri Kewangan memberikan izinnya sebegitu mudah tanpa mempertimbangkan pelbagai aspek yang disebut di atas, sehingga kepentingan 31% syarikat Malaysia boleh beralih tangan?

Komen Kadir Jasin
A Kadir Jasin dalam ruangannya Other Thots dalam majalah Malaysian Busines, 1 Disember 2005 juga membangkitkan peranan lain ECM Libra, iaitu ECM Libra terlibat bagi pihak keluarga diraja Selangor dan kumpulannya menjual pegangan mereka dalam Southern Bank Berhad kepada Commerce International Merchant Bank (CIMB).

Mengikut rencana tersebut, akhbar The Star, 23 November 2005 memetik penilain oleh Goldman Sachs yang berpejabat di Singapura menaikkan nilai sesaham SBB kepada rm 5.50 sesaham iaitu RM 1.50 lebih tinggi dari harga Bursa Malaysia.

Jika CIMB yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia membayar dengan harga tersebut, ia nescaya akan membuka mata banyak pihak kerana ia melibatkan wang syarikat milik kerajaan, kata rencana tersebut.

Rencana itu juga menyebut tentang langkah syarikat milik Singapura, Temasek Holdings mengurangkan pegangan sahamnya dalam SSB dari 7% kepada 4.9% tanpa kebenaran Bank Negara dan ini melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan(Bafia) dan tidak jelas apa tindakan yang telah diambil oleh Bank Negara terhadap pelanggaran tersebut.

Nyata bahawa ECM Libra akan memainkan peranan penting dalam sector koporat negara. Sebelum keadaan menjadi lebih parah, adalah baik bagi pihak terbabit menjelaskan kepada masyarakat beberapa persoalan yang berkaitan;

A. Menteri Kewangan perlu menjelaskan mengapa ia telah memberikan kelulusan terhadap penjualan 31% saham Pantai Holdings kepada Parkway Holdings.

B. Encik Khairy mengenai cara pembiayaan pembelian saham ECM Libra dan isu berkaitan seperti yang disebutkan di atas.

Mampukah Keadilan Meniti Jambatan Kemenangan?

WAJAH generasi pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) pelbagai kaum berada di segenap ceruk dewan hotel lima bintang itu, khusyuk mendengar ucapan perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) oleh Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Hakikatnya, barisan kepemimpinan Keadilan juga tidak terlepas daripada mengecap nikmat gelombang kemakmuran ekonomi negara. Paling tidak, mereka berpeluang mendapat manfaat sistem pendidikan untuk tampil sebagai insan terpelajar hingga mampu menerajui parti politik yang kini dikatakan sudah mengumpul kira-kira 160,000 ahli sejak ditubuhkan tujuh tahun lalu.

Kritikan pemimpin Keadilan terhadap pelaksanaan DEB yang dikatakan tidak memenuhi aspirasi keadilan sosial dan pengagihan kekayaan bukan baru sehari dua berkumandang, malah hampir pasti akan terus menjadi modal pembangkang dalam mencari ruang berakar umbi di minda rakyat supaya terus-terusan menganggap kerajaan membiarkan kepincangan beraja di mata.

Pun demikian, apakah agenda ekonomi baru yang disaran Keadilan mampu menjamin kepuasan di kalangan 26 juta penduduk Malaysia? Dan bagaimana parti muda itu berupaya menggerakkan rancangan berteraskan lima perkara itu sekiranya satu suara yang dimilikinya di Dewan Rakyat jarang-jarang kedengaran pada sesi perbahasan?

Ketika ditanya mengenai azam tahun baru Keadilan, Dr Wan Azizah tersenyum menjawab: "Meniti jambatan kemenangan."

Tiga perkataan ringkas yang dalam maksudnya dan tinggi hasratnya, namun mungkin memerlukan lebih dari 365 hari sepanjang 2006 untuk menjadi kenyataan ­ kalau pun mampu dizahirkan seperti dihasratkan.

Pencapaian Keadilan pada Pilihan Raya Umum ke-11 tahun lalu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Malah talian hayat tunggalnya menerusi kerusi Parlimen yang dimenangi Dr Wan Azizah boleh dikatakan tidak membawa banyak makna kerana cuma sesekali berkumandang berbanding sekutu pembangkang DAP dan Pas.

Malah, bukan seorang dua yang secara terbuka mempersoalkan kerelevanan Keadilan kini berbanding di awal penubuhannya, hatta di kalangan penyokong dan ahli parti itu sendiri, selepas `ikon' mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bebas daripada kurungan dan kembali menghirup udara kebebasan.

Seharusnya, Dr Wan Azizah mempunyai pandangan berbeza untuk melembutkan hati penyokongnya.

"Itu tidak benar, malah itu adalah apa yang diuar-uarkan kerajaan, kononnya perjuangan Keadilan hanya untuk membebaskan Anwar.

"Sebenarnya, semangat kita dan bara perjuangan semakin melonjak-lonjak selepas Anwar dibebaskan, cuma ia perlu diterjemahkan dalam bentuk dasar parti.

"Penggerak parti mesti mencari jalan bagaimana Keadilan boleh menyertai pilihan raya umum akan datang dan menang. Percayalah, semangat itu masih meluap-luap di dada tetapi tidak dimanifestasikan," katanya.

Seorang ahli politik perlu memahami bahawa musuh utamanya ialah masa. Dua tiga tahun yang berbaki sebelum pilihan raya umum ke-12 menjelma bukanlah lama bagi yang benar-benar memahami selok-belok perjuangan aspirasi partinya dan sebarang bentuk kealpaan, walaupun sesaat, boleh menyebabkan mereka membayar harga termahal -- kehilangan kepercayaan rakyat.

Namun demikian, melihat kepada rungutan, keluhan dan pandangan perwakilan pada kongres tahunan Keadilan yang berakhir semalam, jelaslah terlalu banyak lompang yang perlu ditampal pemimpinnya jika mahu melihat parti itu terus mewarnai persada politik tanah air, sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang.

Isu keahlian, perancangan dan perencanaan serta semangat ahli mungkin dianggap lapuk atau remeh, tetapi Keadilan sebenarnya menghadapi situasi lebih besar daripada sekelumit gambaran yang dibangkitkan perwakilannya.

Ringkasnya, Keadilan sedang berdepan dengan krisis keyakinan. Dan ia tidak mungkin dapat diselesaikan dengan kata-kata pujukan `api perjuangan belum terpadam'.

Mengulas keterbukaan perwakilan Angkatan Muda yang mencadangkan parti itu memulaukan pilihan raya umum akan datang atas alasan sistem sedia ada dipenuhi kepincangan, Dr Wan Azizah berkata: "Tindakan memboikot pilihan raya bermakna Keadilan akan terkeluar daripada perlumbaan memperjuangkan masa depan rakyat dan saya tidak fikir itu adalah keputusan tepat.

"Mereka cuma meluahkan perasaan dan kita terima serta berjanji untuk mengatasi apa juga masalah yang membelenggu Keadilan selama ini."

Timbalannya, Dr Syed Hussin Ali, yang duduk bersebelahan ketika sidang media selepas berakhirnya kongres itu semalam menambah: "Pandangan itu menunjukkan ahli komited terhadap perjuangan parti dan mahukan sesuatu yang lebih baik."

Diakui, laluan bagi Keadilan untuk sampai ke tahap sekarang bukan mudah tetapi untuk berlaku adil kepada semua, perjuangan Umno, MCA, MIC, Pas dan DAP juga mempunyai kisah suka serta cerita lara tersendiri. Bezanya, Keadilan dilihat bergerak di pelantar matlamat yang terlalu rapuh dan ada kalanya sukar ditentukan matlamat yang menjadi sasaran akhir.

Ketetapan Keadilan menolak parti berteraskan teologi seperti dinyatakan Dr Wan Azizah dalam ucapan dasarnya kelmarin (walaupun bukan pertama kali dinyatakan), pastinya meninggalkan kesan berbekam di sanubari sahabat sealiran, terutama Pas.

Walaupun Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, menyifatkan kenyataan itu sebagai "hak Keadilan memberi pandangan", ia mungkin menimbulkan polemik di kalangan ahli Pas yang lebih ramai pengikutnya dalam meminta pimpinan parti berusia lebih separuh abad itu mengkaji semula `perkongsian pintar' yang pada dasarnya dilihat pemerhati politik sebagai tidak membawa banyak makna atau kesan dalam mengukuhkan gagasan pembangkang.

Di hadapan kira-kira 1,000 ahli parti malam kelmarin, Anwar menegaskan beliau tidak berhasrat kembali ke pangkuan Umno walaupun mendakwa pernah berbincang dengan beberapa pemimpin Umno berhubung perkara itu.

Tiada yang mustahil dalam kehidupan dan politik adalah sebahagian daripada kehidupan.

Penulis tersohor kelahiran Dublin, Oscar Wilde, mengatakan pengalaman adalah istilah yang diberi manusia terhadap segala kesilapannya. Dalam usia meniti keremajaan, Keadilan tidak mempunyai banyak pilihan selain mengharungi pelbagai cabaran dan mengutip seberapa banyak pengalaman untuk mengejar langkah pesaing yang semakin jauh ke hadapan.

Cuma dalam banyak keadaan, payah untuk manusia membezakan di antara pengalaman dan kesilapan!

http://www.keadilanrakyat.org/

Kongres Parti Keadilan Rakyat 2005


Parti Keadilan Rakyat akan mengadakan Kongres Nasional kedua pada 22 hingga 24 Disember di Hotel Istana, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Kongres Angkatan Muda dan Wanita akan diadakan pada 22 Disember 2005 (Khamis), manakala Kongres Parti Keadilan Rakyat pula akan diadakan pada 23 dan 24 Disember 2005 (Jumaat dan Sabtu).

Bagi mereka yang menggunakan sistem pengangkutan awam, Hotel Istana adalah berdekatan dengan Stesen Monorail Raja Chulan.

Kongres ini adalah kongres kedua yang diadakan sejak penggabungan Parti Rakyat Malaysia dan Parti Keadilan Nasional. Kongres pertama diadakan di Ipoh pada bulan Disember 2004.

www.keadilanrakyat.org

Saya Patut Dapat 10 Undi Saja…


Cerita pasal pilihanraya kecil Pengkalan Pasir belum reda lagi. Selain PAS masih pening lalat menerima kekalahan, ramai yang tertanya apa jadi dengan Datuk Ibrahim Ali.Batang hidungnya tak nampak masa malam pengiraan undi dan begitu juga masa pengiraan semula.

Bukan setakat itu beliau seolah ‘ghaib’ terus sejak pilihanraya selesai.Ada yang kata calon bebas yang dapat 415 undi itu menyorok kerana merasa malu.Desas desus turut berlegar di Pasir Mas mendakwa beliau buat pakatan sulit bagi memenangkan Barisan Nasional.

Ini kerana semua menduga kelebihan undi padanya pasti menguntungkan PAS.

Antara indikasinya Ibrahim Ali didakwa slow down kempennya sehari dua menjelang pilihanraya dan ‘buat perangai’ hingga mencetuskan kemarahan para penyokongnya yang secara langsung membuatkan mereka buang undi kepada BN.

Betulkah begitu?

Agendadaily kebetulan terserempak dengan Ibrahim Ali sewaktu sidang akhbar Tengku Razaleigh Hamzah mengenai Kongres Kepentingan Melayu di kampus Universiti Teknoloji Malaysia (UTM) Jalan Semarak,Kuala Lumpur petang Selasa.

Beliau hadir pada mesyuarat persiapan menjelang kongres itu sebagai salah seorang ahli jawatankuasa penganjur.

Sebelum itu Ibrahim Ali kelihatan rancak bersembang dengan beberapa orang ahli jawatankuasa lain semasa jamuan minum petang sejurus selesai mesyuarat itu.

Beliau kedengaran bercerita kisah pilihanraya kecil itu pada mereka yang duduk bersamanya di salah sebuah meja di dewan makan.

Wajahnya kelihatan ceria seperti biasa dan riuh bersembang dengan stail biasanya bersuara nyaring dan sekali sekala ketawa berdekah-dekah.

Ketika ditemui selepas itu untuk mengulas kekalahan teruknya dalam pilihanraya kecil itu,Ibrahim Ali secara bersahaja berkata, “ 415 undi itu kira sudah banyak…patutnya saya dapat 10 undi saja.”

Beliau juga menafikan menyorok dari para wartawan.”Saya terima banyak call dari para wartawan tetapi saya malas nak jawab,”katanya.

Semasa pilihanraya umum lalu ketika bertanding kerusi parlimen Pasir Mas,beliau mendapat 1,600 undi dari kawasan Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir.

Ditanya mengenai pandangan bahawa beliau patut pencen saja kerana terbukti menang tidak popular di Pasir Mas yang jauh berbeza dengan apa yang didakwanya semasa kempen,beliau lantas berkata, “:Ini Ibrahim Ali lah… you all kenal I kan.Mana boleh saya give up pasal itu.Saya sudah banyak kali ada pengalaman menerima kekalahan termasuk dalam pemilihan UMNO dulu.

“Itu pilihanraya kecil…tunggulah pilihanraya umum nanti..tak lama, 20 bulan lagi..

“I tak malu…kenapa nak malu.Pilihanraya kecil semua turun.Timbalan Perdana Menteri sendiri berhari-hari ada di sana.

Beliau juga mendakwa pihak BN telah ‘mengempur’ habis-habisan para penyokongnya termasuk “membeli’ mereka.

Ditanya apakah beliau ada bukti atas dakwaannya itu,Ibrahim Ali berkata…”kalau you ada di Pasir Mas tentu you tahu…macam-macam hal."

Beliau mendakwa jentera BN telah menghantar beribu SMS mengatakan beliau telah menarik diri sebagai calon untuk mengelirukan para pengundi.

“Satu dua malam sebelum pilihanraya ramai yang dapat SMS kata saya nak tarik diri.”

Dakwanya SMS berkenaan dihantar tidak lama selepas Datuk Seri Najib Tun Razak membacakan surat yang menafikan pihak istana merestuinya bertanding.

Bagaimana dengan dakwaan mengatakan beliau ada main mata dengan BN menerusi taktik tertentu sehingga undi para penyokongnya swing kepada BN?

“Mana ada…itu semua dakwaan karut,”tegasnya.

Kepada pertanyaan lain,beliau mengesahkan sejak kekalahan itu beliau belum lagi pulang ke Pasir Mas.

Sebelum mengakhiri perbualan,Ibrahim Ali berkata, “Kalau you tengok saya terlantar di hospital…mungkin waktu itu saya pencen dari politik.Selagi saya begini (sihat) I will be around."

Tengku Razaleigh yang berada dekatnnya secara berjenaka mencelah,”saya tak fikir orang macam Brahim akan pencen sekalipun atas katil hospital."

www.agendadaily.com

Anwar Mulakan Kempen Pembangkang di Sarawak


Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan kempen gabungan parti-parti pembangkang Sarawak dengan mengunjungi rumah panjang Aping Dadak di Sri Aman.

Anwar yang berucap di hadapan kira-kira 1,500 penduduk Iban mengajak para pengundi menamatkan pemerintahan 24 tahun Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam pilihanraya negeri akan datang.

Ini adalah kempen politik kedua Anwar sejak dibebaskan dari penjara tahun lalu. Malam Sabtu lalu beliau berucap di hadapan kira-kira 10,000 penduduk Pasir Mas, Kelantan bagi membantu calon PAS yang bertanding dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.

“Masa untuk menukar kerajaan sudah tiba,” katanya kepada perhimpunan yang dihadiri oleh sebahagian besarnya ahli Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang telah dibubarkan.

Rumah panjang Aping Dadak terletak kira-kira 120 kilometer dari Kuching.

“Cukuplah kita membiarkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa berleluasa,” kata Anwar yang merupakan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR). Hadir sama ialah Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali; Setiausaha Agungnya, Datuk Kamarul Ariffin dan Ketua perhubungan PKR Sarawak, Wan Zainal Abidin.

Barisan alternatif
Bekas Timbalan Presiden Umno itu juga berkata, kini wujud alternatif yang berwibawa untuk menggantikan Barisan Nasional kerana ramai pemimpin dan ahlinya berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan.

Dalam ucapannya selama 45 minit itu, Anwar turut membidas Ketua Menteri Sarawak. Kelantangannya menerima tepukan hadirin yang memenuhi rumah panjang 22 bilik itu.

Turut hadir ialah bekas Timbalan Ketua Menteri yang juga bekas Presiden PBDS, Daniel Tajem; Presiden Snap, Edwin Dundand dan Presiden penaja parti baru, Kongres Dayak Malaysia (MDC), Nicholas Bawin dan Ketua rumah panjang, Christopher Ambu.

Anwar juga menjawab kritikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Alfred Jabu yang menyifatkan kunjungannya ke Sarawak sebagai “pergi berkelah di rumah panjang”.

Sambil menyifatkan Jabu hanya “seekor cicak” dan dirinya “seekor naga”, Anwar mengingatkan Jabu dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) supaya berhati-hati kerana jumlah kehadiran yang besar di majlis itu menunjukkan aspirasi orang Dayak.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga memberitahu, dalam satu mesyuarat Bank Dunia yang dihadirinya baru-baru ini, telah dibentangkan indeks kemiskinan Malaysia dan sebahagian besar daripada sejuta rakyat negara ini yang dikategorikan sebagai miskin tegar, adalah orang Dayak dan pribumi di Sabah.

"Sarawak negeri yang kaya, pemimpin-pemimpinnya kaya-raya tetapi rakyatnya miskin,” tegas Anwar.

Selepas majlis di rumah panjang itu, Anwar kembali ke Kuching untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin PKR Sarawak dan Snap bagi membincangkan strategi pilihanraya dan pembahagian kerusi.

Anwar juga mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Melayu dan China di ibunegeri Sarawak itu.

Beliau kemudiannya memberitahu media bahawa beliau akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin DAP dan PAS Sarawak bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama dalam membentuk agenda tunggal pilihanraya.
www.anwaribrahim.com

Petisyen pilihan raya: PAS sudah kumpul cukup bukti penipuan

KOTA BHARU, 15 Dis (Hrkh) – PAS mempunyai bukti yang cukup penipuan dan penyalahgunaan kuasa berleluasa berlaku dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir baru-baru ini.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Takiyudin Hassan berkata, pihaknya yakin akan mendapat kerjasama sepenuhnya dengan pihak-pihak yang terlibat dengan penipuan ini.

Katanya, sekurang-kurangnya lima orang pengundi yang terlibat dengan ‘penyamaran pengundi’ dalam pilihan raya itu sudah bersedia untuk memberi keterangan sebagai saksi apabila pestisyen pilihan raya berkenaan dibuat kelak.

Takiyuddin berkata, lima pengundi berkenaan adalah sebahagian dari 20 orang yang terlibat dalam ‘penyamaran pengundi’ di Dun berkenaan yang sanggup memberi keterangan dalam mahkamah pilihan raya selepas petisyen mengenainya dibuat.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengumumkan, PAS akan membuat petisyen pilihan raya selepas mempunyai bukti kukuh penyelewengan dan pelanggaran peraturan telah berlaku dalam pilihan raya kecil itu.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat JK PAS Pusat Ahad lepas.

Sebelum itu, sebaik sahaja keputusan rasmi diumumkan, timbalannya, Nasharudin Mat Isa telah mengumumkan cadangan untuk membuat petisyen pilihan raya itu.

Kata Takiyudin yang juga Exco kerajaan negeri, bukti-bukti lain juga sudah dan sedang dikumpul untuk mengukuhkan dakwaan untuk dikemukakan nanti termasuk gambar mereka yang terlibat.

“Kita tidak bercakap kosong bahkan kita ada bukti mengenainya (penyamaran pengundi),” ujarnya yang juga sorang peguam.

Menurutnya lagi, penyamaran atau pengundi hantu adalah kesalahan yang paling jelas dilakukan dalam pilihan raya kecil baru-baru ini di samping majlis-majlis jamuan dan rasuah lain.

“Penyamaran sebagai pengundi, pengundi hantu termasuk menyamar mengundi atas nama orang yang dah mati atau menyamar mengundi orang yang hidup, tetapi namanya telah digunakan oleh orang lain adalah menjadi kesalahan dalam pilihan raya.

“Kita akan kemukakan petisyen pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secepat mungkin sekurang-kurangnya selepas 60 hari memandangkan tindakan itu amat bersalahan dalam pilihan raya,” ujarnya.

“Kita ada juga pengundi berdaftar, tetapi namanya sudah digunakan oleh pengundi yang lain,” ujarnya.

Takiyuddin seterusnya memberitahu, mangsa penyamaran ini sebahagian besarnya adalah terkena pada penyokong PAS menyebabkan mereka tidak dapat membuang undi disebabkan namanya sudah digunakan oleh pengundi lain.

“Mungkin ada juga penyokong Umno mengalami nasib yang serupa, tetapi itu kemungkinanlah, yang jelas pengundi dari penyokong PAS ramai mengalami masaalah itu,” ujarnya lagi.

Payung tidak melindungi Pas di Pengkalan Pasir!

Tiga hari sebelum tiba hari pengundian saya melihat adalah sesuatu yang miracle (ajaib) kalau Barisan Nasional (BN) boleh menang di Pengkalan Pasir. Ukuran saya ialah kepada suasana, semangat bekerja, cakap-cakap dan juga mood umum yang mahu dan simpati kepada Pas yang diserang, begitu hebat.

Ia juga berlandaskan kepada pengakuan penyokong Umno sendiri yang mereka akan kalah. Sepuluh yang ditanya, seorang pun tidak meletakkan Umno akan menang.

Ini ditambah lagi dengan penyertaan Ibrahim Ali di dalam pilihan raya kecil itu dikira membantu Pas dan menjadikan Umno dalam keadaan tertekan. Ibrahim Ali dikira menjadi tali hayat kepada Pas untuk menyelamatkan pengkalan yang hendak ditenggelamkan BN itu. Lantaran itu Umno menerusi Annuar Musa berusaha sedaya upaya untuk memujuk Ibrahim agar tidak bertanding.

Bagaimanapun kira-kira 48 jam sebelum tiba saat mengundi, khasnya pada jam 4.00 pagi (6 Disember) saya melihat sebaliknya pula. Adalah seuatu yang miracle bagi Pas untuk menang pilihan raya kecil itu. Ukuran ini dibuat berdasarkan senario dan juga beberapa perkembangan terbaru yang luruh dan mengembang begitu drastik pada malamnya, berpihak kepada Umno.

Di antara perkembangan itu itu laporan mengenai kehadiran beberapa buah bas berplat luar yang dikatakan membawa pengundi hantu dan keagresifan Umno menjalankan kegiatan membeli undi (termasuk terhadap penyokong Ibrahim) serta membuat serangan-serangan terakhir diluar dugaan. Apa pun petunjuk yang dapat dilihat sendiri ialah apabila saya menyedari seluruh kawasan DUN Pengkalan Pasir telah “dikepung” oleh polis. Polis mengadakan sekatan jalan raya ke semua jalan yang hendak memasuki ke kawasan DUN Pengkalan Pasir.

Bermakna kawasan Pengkalan Pasir tidak mudah untuk dimasuki oleh sesiapa juga. Sekatan ketat bukan sahaja di kawasan pusat-pusat pembuangan undi, tetapi di seluruh Pengkalan Pasir. Pengkalan Pasir menjadi seperti kawasan yang didharuratkan. Kecuali jalan besar sahaja tidak adakan sekatan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Mungkin hakikat ini tidak disedari oleh Pas dan orang ramai. Atau kalau sekalipun Pas menyedari, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana kuasa itu terletak di pihak kerajaan dan ia pula dilakukan pada saat-saat akhir. Keadaan seperti ini di mana kawasan DUN dikepung tidak pernah berlaku. Kalau pun ada sekatan hanya di jalan-jalan tertentu sahaja dan kereta masih dibenarkan bebas masuk keluar ke kawasan pilihan raya.

Menerusi sekatan jalan raya ini mana-mana kereta yang hendak memasuki ke kawasan pilihan raya itu akan dichannel ke jalan lain. Atau pun kereta berkenaan diminta meletakkan kenderaan jauh dari kawasan pilihan raya berkenaan. Sebaliknya sesuatu yang aneh pula, ada kereta tertentu dibenarkan masuk dengan bebas ke kawasan pilihan raya tanpa sebarang masalah dan pemeriksaan rapi.

Lebih menimbulkan tanda tanya, di atas kereta yang dibenarkan masuk itu terdapat beberapa orang, yang gaya dan rupanya seperti pengundi. Salah satu tempat yang berlaku peristiwa ini ialah di sebatang jalan dalam peti undi Slow Machang. Apakah ini pengundi hantu yang disusup masuk?

Itulah perbezaan, dan saya melihat ianya sebagai strategi baru pihak SPR dan juga keselamatan, Polis. Apakah ia berbuat demikian dengan membawa motif busuk di sebaliknya, ataupun ikhlas untuk mengawal keselamatan? Apapun Pas semasa membuat postmortem kekalahannya nanti perlu mengambilkira hal ini.

Di sini saya tidak mahu mengatakan strategi baru itu menjadi penyebab pada kekalahan Pas. Seperti alasan kemenangan kepada BN, yang mempunyai seribu alasan, begitu jugalah alasan kekalahan Pas itu ada seribu alasan benar dan tidak benarnya. Di sini kita tidak boleh menerima strategi baru kawalan keselamatan itu sebagai satu-satu penyebab konkrit ketewasan Pas.

Umum tahu, sebelum ini Pas meletakakan harapan menang cerah apabila Ibrahim Ali menyertai pilihan raya itu. Atas mempercayai bekas Ketua Umno Pasir Mas itu akan dapat meraih 1600 undi berpandukan kepada undi untuknya bagi calon bebas di kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya 2004 lalu, angka itu dikira cukup bagi Pas untuk mengalahkan Umno.

Bahkan kalau pun 1,000 sahaja Ibrahim memperolehi undinya itu, ia sudah melegakan Pas dan akan menang dengan majoriti di bawah 300 undi. Peramal politik dan juga tokoh Pas yang rasional, sesekali tidak membayangkan Ibrahim akan mampu untuk meraih 1600 undi, apa lagi sampai 2,000 lebih seperti mana dakwa Ibrahim dan pengikut setianya.

Justeru Pas menaruh harapan besar dan ‘merestui’ Ibrahim menyertainya. Pas tidak melarang akan maksud Ibrahim itu, seperti mana BN beriya memujuk dan berunding agar Ibrahim menarik hasratnya itu kerana Pas sangat yakin Ibrahim akan memberi keuntungan kepadanya dan payung dapat meneduhkan Pas dari pancaran mentari dan juga titisan hujan di Pengkalan Pasir pada 6 Disember lalu.

Sebaliknya, apa yang berlaku mengejutkan. Ibrahim hanya berjaya mengutip 415 undi sahaja. Ini bererti beliau gagal untuk memastikan 700 orang jentera parti yang juga pengundi fanatiknya, mengundinya. Kegagalkan ini sesuatu yang amat menarik dan sungguh mengejutkan. Apakah situasi ini juga yang menjadikan keajaiban yang berlaku dalam tempoh 48 jam sebelum tiba hari mengundi itu?

Kenapa terjadi demikian? Banyak persoalan dan tanda tanya yang boleh dihimpun tetapi sukar untuk dilangsaikan di sini. Macam-macam andaian timbul dan ada yang mengatakan Ibrahim telah menarik handbreak pada saat-saat akhir? Kenapa begitu?

Kalau benar begitu sukar pula untuk diketahui kenapa sebabnya? Apakah Ibrahim baru menemui formula baru dan mendapat janji baru, lantas terpaksa bertindak drastik begitu? Kalau janji baru dengan siapa? Bagaimanapun segala itu tidak mustahil kerana beliau berada dalam putaran arus politik yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamat (cita-cita).

Jika diperhatikan kepada graf perjuangannya dikatakan turun mendadak empat hari sebelum mengundi, ada kemungkinan bahawa ahli politik kontroversi terus bermain politik di Pengkalan Pasir sehingga ke saat-saat akhirnya. Kemungkinan beliau membuat perubahan pegangan disaat-saat akhir tidak boleh diketepikan.

Dan saya tanpa meletakkan Ibrahim terus berpolitik, yang jelasnya undi yang diperolehi beliau menunjukkan beliau sudah tidak popular lagi. Segala budi dan jasa yang beliau taburkan di Pasir Mas yang sering diungkitkan oleh beliau, tidak sedikit pun dipandang oleh rakyat Pasir Mas. Maksudnya rakyat Pasir Mas sedikit pun tidak bersimpati kepadanya.

Masalahnya, apakah dengan hakikat yang berlaku itu – beliau dilihat gagal memenangkan Pas sedangkan persepsi umum mengatakan kehadirannya dapat membantu Pas, beliau akan dihormati sebagai seorang pejuang rakyat dan seorang pejuang yang tulus dan ikhlas? Sesungguhnya nasib Ibrahim di dalam politik pada masa akan datang tidak secerah harapannya sebelum 6 Disember lalu.

Kegagalannya meraih 1,000 undi meyebabkan Pas mungkin akan ‘tersangka’ bahawa Ibrahim bermain kayu tiga di Pengkalan Pasir. Sekiranya ini wujud dalam hati Pas, maka harapan Ibrahim untuk mendapat laluan mudah dari Pas untuk bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas di masa akan datang bukan semudah yang dibayangkan itu.

Habuan RM1.5 juta untuk rakyat Pengkalan Pasir

Tak sampai 2 hari diisytiharkan sebagai ADUN Pengakalan Pasir (belum pun angkat sumpah secara rasmi) Jabatan Perdana Menteri Malaysia telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM1.5 juta kepada Hanafi Mamat.

Menurut Ketua Umno Kelantan yang juga Ketua Pembangkang, Annuar Musa, peruntukan itu adalah bagi membiayai kerja-kerja menaik taraf jalan-jalan kecil, menaik taraf dan memperbaiki rumah-rumah rakyat yang miskin, kerja-kerja parit dan beberapa masalah lain yang gagal disempurnakan oleh kerajaan negeri.

Peruntukkan ini kata Annuar adalah bagi memudahkan Hanafi menyempurnakan segala janji-janji pilihanraya yng dibuat oleh pihak BN semasa berkempen baru-baru ini.

Saya kaum dengan pantasnya pengumuman yang dibuat Annuar itu, diharapkan pantaslah juga turun wangnya. Apakah 21 ADUN Umno Kelantan yang lain tidak turut diberi RM1.5 juta seorang juga? Saya pasti ADUN-ADUN Umno lain termasuklah Annuar sendiri memerlukan juga peruntukkan sedemikian kerana kawasan-kawasan mereka pun sebenarnya ramai yang terabai dan banyak perkara yang tak selesai, sayang kerana media perdana dikawal Umno maka semasa kempen baru-baru ini yang rakyat nampak hanyalah kesusahan di Pengkalan Pasir sahaja.

Cuma tak tahulah samada RM1.5 juta itu cukup? Mungkin buat masa ini cukuplah. Mungkin akan turun lagi wang mencurah-curah ke riba Hanafi sebagaimana mencurah-curahnya hujan monsoon di Kelantan. Macam-macam boleh jadi.

Yang saya mahu pesan di sini pastikan yang akan menjaga dan mengurus wang yang sebenarnya berpunca dari kocek rakyat itu adalah mereka yang amanah dan boleh dipercayai. Takut nanti bunyi sahaja RM1.5 juta tapi turunnya semakin mengecil, kalau wang rakyat termiskin pun boleh lesap berpuluh juta, inikan pula sekecil RM1.5 juta.

Seperkara lagi saya perhatikan trend menyalurkan terus peruntukkan dari kerajaan pusat ke seorang ADUN merupakan trend yang tidak sihat dari segi operasi sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem federalisma. Perkara seumpama ini tak pula berlaku di negeri-negeri lain. Bukankah negeri Kelantan juga adalah salah sebuah dari 13 negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia?

Politics aside, sepatutnya kita buktikan yang Malaysia menghormati dan berpegang teguh kepada sistem kerajaan yang ia anuti sendiri. Hari ini dilaporkan kita mahu agar pembacaan ikrar RUKUNEGARA dihidupkan semula dalam majlis-majlis rasmi kerajaan. Bukankah KELUHURAN PERLEMBAGAAN yang padanya terkandung hubungan, tugas dan tanggungjawab kerajaan Pusat dan Negeri merupakan salah satu dari prinsipnya.

Apa guna kita mengamalkan sistem federalisma, tetapi apabila pembangkang menang satu-satu negeri melalui proses demokrasi, maka kita tekan dan anak-tirikan mereka.

blog roslansms http://n32.blogspot.com/

Pengundi hantu diminta tidak mengundi

PENGKALAN PASIR, 4 Dis (Hrkh) - Para pengundi hantu diminta membatalkan hasrat mereka untuk mengundi dalam pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir kerana tindakan ‘menipu’ itu adalah haram.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali berkata, mereka juga perlu menyedari bayaran lumayan yang diberikan oleh pihak lawan untuk menjatuhkan PAS bukan sahaja tidak adil, sebaliknya rezeki yang diperolehi mereka tidak halal.
”Sanggupkah kita memakan hasil tersebut atau memberi rezeki berkenaan kepada anggota keluarga kita hasil dari penipuan yang kita buat,” ujarnya.

Ketika memberikan peringatan berkenaan, Lo’ Lo’ seterusnya memberitahu, beliau difahamkan seorang pengundi hantu akan dibayar sekurang-kurangnya RM1,000 tiap seorang untuk mengundi calon BN dalam pilihan raya ini.

Tambahnya, sanggupkah pengundi hantu terbabit berbuat demikian sehingga calon PAS kalah walhal hakikatnya Dun berkenaan masih kekal di bawah parti berkenaan.

“Ingatlah, baik-baik pesan saya ni sama ada makcik, pakcik atau apa sahaja yang ditugaskan sebagai pengundi hantu hendaklah membatalkan hasrat tersebut sekiranya tidak ingin dipersoalkan di akhirat nanti,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru para suami supaya menasihati isteri masing-masing agar tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak sebagai pengundi hantu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa pengundi hantu hanya imaginasi PAS dan ianya tidak wujud sama sekali

PAS Tawar RM15,000

PENGKALAN PASIR, 2 Dis (Hrkh) – Peluang membuat duit di Pengkalan Pasir. Bukan rasuah tetapi anugerah kepada mana-mana pihak yang berjaya memberikan maklumat sehingga tertangkapnya pengundi hantu.

PAS menawarkan ganjaran sehingga RM15,000 kepada mana-mana pihak atau individu yang mempunyai maklumat sahih berkaitan pengundi hantu, rasuah dan politik wang.

Setiausaha Agungnya, Dato’ Kamarudin Jaffar berkata, PAS memandang serius isu pengundi yang tidak layak mengundi atau pengundi hantu serta rasuah politik atau politik wang.

“Ia menyalahi prinsip demokrasi dan tidak menghormati undang-undang negara ini,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Markas Besar PAS di Kampung Jias, hari ini.

Katanya, berdasarkan pengalaman pilihan raya umum yang lalu, PAS mendapati terdapat kecenderungan membawa masuk para pengundi luar yang tidak layak mengundi dengan berbagai-bagai cara untuk mengundi di Dun Pengkalan Pasir.


PAS juga, ujarnya mengesan pemberian wang yang berunsur rasuah bagi mendapatkan undi yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dan perkara itu berlaku secara berleluasa.

Tambahnya, PAS berazam membanteras amalan-amalan jahat tersebut yang merupakan tunjang pihak-pihak berkenaan.

Suhubungan itu, katanya PAS mengajak rakyat khususnya penduduk Pengkalan Pasir untuk bersama-sama dengan PAS menunjukkan contoh politik yang bersih dengan membenci dan membanteras pengundi hantu dan politik wang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat mengajak rakyat khususnya penduduk Pengkalan Pasir menjadikan rasuah dan politik wang sebagai musuh nombor satu negara.

“PAS menegaskan bahawa amalan memasukkan pengundi luar dijelmakan sebagai pengundi hantu dan memberi rasuah kepada pengundi bukan sahaja menyalahi seruan mengamalkan kempen yang bersih tetapi juga menjejaskan kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati rakyat khususnya penduduk Pengkalan Pasir,” ujarnya.

Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat tersebut boleh membuat aduan dengan menghubungi bilik gerakan PAS di talian 09-7981562 atau 09-7964714.