Politik dan Pilihanraya

Mampukah Keadilan Meniti Jambatan Kemenangan?

WAJAH generasi pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB) pelbagai kaum berada di segenap ceruk dewan hotel lima bintang itu, khusyuk mendengar ucapan perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) oleh Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Hakikatnya, barisan kepemimpinan Keadilan juga tidak terlepas daripada mengecap nikmat gelombang kemakmuran ekonomi negara. Paling tidak, mereka berpeluang mendapat manfaat sistem pendidikan untuk tampil sebagai insan terpelajar hingga mampu menerajui parti politik yang kini dikatakan sudah mengumpul kira-kira 160,000 ahli sejak ditubuhkan tujuh tahun lalu.

Kritikan pemimpin Keadilan terhadap pelaksanaan DEB yang dikatakan tidak memenuhi aspirasi keadilan sosial dan pengagihan kekayaan bukan baru sehari dua berkumandang, malah hampir pasti akan terus menjadi modal pembangkang dalam mencari ruang berakar umbi di minda rakyat supaya terus-terusan menganggap kerajaan membiarkan kepincangan beraja di mata.

Pun demikian, apakah agenda ekonomi baru yang disaran Keadilan mampu menjamin kepuasan di kalangan 26 juta penduduk Malaysia? Dan bagaimana parti muda itu berupaya menggerakkan rancangan berteraskan lima perkara itu sekiranya satu suara yang dimilikinya di Dewan Rakyat jarang-jarang kedengaran pada sesi perbahasan?

Ketika ditanya mengenai azam tahun baru Keadilan, Dr Wan Azizah tersenyum menjawab: "Meniti jambatan kemenangan."

Tiga perkataan ringkas yang dalam maksudnya dan tinggi hasratnya, namun mungkin memerlukan lebih dari 365 hari sepanjang 2006 untuk menjadi kenyataan ­ kalau pun mampu dizahirkan seperti dihasratkan.

Pencapaian Keadilan pada Pilihan Raya Umum ke-11 tahun lalu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Malah talian hayat tunggalnya menerusi kerusi Parlimen yang dimenangi Dr Wan Azizah boleh dikatakan tidak membawa banyak makna kerana cuma sesekali berkumandang berbanding sekutu pembangkang DAP dan Pas.

Malah, bukan seorang dua yang secara terbuka mempersoalkan kerelevanan Keadilan kini berbanding di awal penubuhannya, hatta di kalangan penyokong dan ahli parti itu sendiri, selepas `ikon' mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bebas daripada kurungan dan kembali menghirup udara kebebasan.

Seharusnya, Dr Wan Azizah mempunyai pandangan berbeza untuk melembutkan hati penyokongnya.

"Itu tidak benar, malah itu adalah apa yang diuar-uarkan kerajaan, kononnya perjuangan Keadilan hanya untuk membebaskan Anwar.

"Sebenarnya, semangat kita dan bara perjuangan semakin melonjak-lonjak selepas Anwar dibebaskan, cuma ia perlu diterjemahkan dalam bentuk dasar parti.

"Penggerak parti mesti mencari jalan bagaimana Keadilan boleh menyertai pilihan raya umum akan datang dan menang. Percayalah, semangat itu masih meluap-luap di dada tetapi tidak dimanifestasikan," katanya.

Seorang ahli politik perlu memahami bahawa musuh utamanya ialah masa. Dua tiga tahun yang berbaki sebelum pilihan raya umum ke-12 menjelma bukanlah lama bagi yang benar-benar memahami selok-belok perjuangan aspirasi partinya dan sebarang bentuk kealpaan, walaupun sesaat, boleh menyebabkan mereka membayar harga termahal -- kehilangan kepercayaan rakyat.

Namun demikian, melihat kepada rungutan, keluhan dan pandangan perwakilan pada kongres tahunan Keadilan yang berakhir semalam, jelaslah terlalu banyak lompang yang perlu ditampal pemimpinnya jika mahu melihat parti itu terus mewarnai persada politik tanah air, sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang.

Isu keahlian, perancangan dan perencanaan serta semangat ahli mungkin dianggap lapuk atau remeh, tetapi Keadilan sebenarnya menghadapi situasi lebih besar daripada sekelumit gambaran yang dibangkitkan perwakilannya.

Ringkasnya, Keadilan sedang berdepan dengan krisis keyakinan. Dan ia tidak mungkin dapat diselesaikan dengan kata-kata pujukan `api perjuangan belum terpadam'.

Mengulas keterbukaan perwakilan Angkatan Muda yang mencadangkan parti itu memulaukan pilihan raya umum akan datang atas alasan sistem sedia ada dipenuhi kepincangan, Dr Wan Azizah berkata: "Tindakan memboikot pilihan raya bermakna Keadilan akan terkeluar daripada perlumbaan memperjuangkan masa depan rakyat dan saya tidak fikir itu adalah keputusan tepat.

"Mereka cuma meluahkan perasaan dan kita terima serta berjanji untuk mengatasi apa juga masalah yang membelenggu Keadilan selama ini."

Timbalannya, Dr Syed Hussin Ali, yang duduk bersebelahan ketika sidang media selepas berakhirnya kongres itu semalam menambah: "Pandangan itu menunjukkan ahli komited terhadap perjuangan parti dan mahukan sesuatu yang lebih baik."

Diakui, laluan bagi Keadilan untuk sampai ke tahap sekarang bukan mudah tetapi untuk berlaku adil kepada semua, perjuangan Umno, MCA, MIC, Pas dan DAP juga mempunyai kisah suka serta cerita lara tersendiri. Bezanya, Keadilan dilihat bergerak di pelantar matlamat yang terlalu rapuh dan ada kalanya sukar ditentukan matlamat yang menjadi sasaran akhir.

Ketetapan Keadilan menolak parti berteraskan teologi seperti dinyatakan Dr Wan Azizah dalam ucapan dasarnya kelmarin (walaupun bukan pertama kali dinyatakan), pastinya meninggalkan kesan berbekam di sanubari sahabat sealiran, terutama Pas.

Walaupun Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, menyifatkan kenyataan itu sebagai "hak Keadilan memberi pandangan", ia mungkin menimbulkan polemik di kalangan ahli Pas yang lebih ramai pengikutnya dalam meminta pimpinan parti berusia lebih separuh abad itu mengkaji semula `perkongsian pintar' yang pada dasarnya dilihat pemerhati politik sebagai tidak membawa banyak makna atau kesan dalam mengukuhkan gagasan pembangkang.

Di hadapan kira-kira 1,000 ahli parti malam kelmarin, Anwar menegaskan beliau tidak berhasrat kembali ke pangkuan Umno walaupun mendakwa pernah berbincang dengan beberapa pemimpin Umno berhubung perkara itu.

Tiada yang mustahil dalam kehidupan dan politik adalah sebahagian daripada kehidupan.

Penulis tersohor kelahiran Dublin, Oscar Wilde, mengatakan pengalaman adalah istilah yang diberi manusia terhadap segala kesilapannya. Dalam usia meniti keremajaan, Keadilan tidak mempunyai banyak pilihan selain mengharungi pelbagai cabaran dan mengutip seberapa banyak pengalaman untuk mengejar langkah pesaing yang semakin jauh ke hadapan.

Cuma dalam banyak keadaan, payah untuk manusia membezakan di antara pengalaman dan kesilapan!

http://www.keadilanrakyat.org/

0 Comments:

Post a Comment

<< Home