Politik dan Pilihanraya

Shahrizat Pangku Jawatan Menteri Wilayah Persekutuan


PUTRAJAYA 18 Oktober 2005 (Berita Harian) - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dilantik memangku jawatan Menteri Wilayah Persekutuan berikutan peletakan jawatan Tan Sri Mohd Isa Samad, berkuat kuasa kelmarin.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, peletakan jawatan Mohd Isa sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, semalam.
`
Perdana Menteri berkata, beliau sudah menerima surat peletakan jawatan itu kelmarin.“Yang ganti dia buat masa ini ialah Datuk Seri Shahrizat... pemangku menteri. Eloklah, (kerana) Shahrizat faham Wilayah Persekutuan... dia pun wakil rakyat Wilayah Persekutuan (Parlimen Lembah Pantai).
`
“Saya percaya Shahrizat dapat jalankan tugas dan pangku Kementerian Wilayah dengan baik. Sistem kita tidak benarkan Timbalan Menteri memangku. Yang memangku adalah menteri lain,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Biro Pengaduan Awam (BPA), semalam.
`
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman pula mengesahkan surat peletakan jawatan Mohd Isa itu diserahkan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkarnain Awang kepada Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, kelmarin.
`
Peletakan jawatan Mohd Isa dibuat selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno pada mesyuaratnya 7 Oktober lalu menolak rayuannya terhadap hukuman penggantungan sebagai ahli selepas bersalah dalam politik wang.
`
Mengenai tempoh Shahrizat memangku jawatan itu, Perdana Menteri berkata: “Selagi kita tak ganti, dia kena pangkulah,” katanya menyedari wartawan cuba mengaitkan jawapannya dengan kemungkinan rombakan Kabinet.
`
“Saya tak fikir lagi (untuk merombak Kabinet). Anda tahu, saya tidak akan memberitahu anda, tak payah nak tanya. Bila tiba masanya, saya akan umumkan juga,” katanya.
`
Perdana Menteri berkata, beliau sendiri belum memberitahu Shahrizat mengenai pemilihannya memangku tugas baru itu.
`
Mengenai penyambungan tugas Datuk Mahdzir Khalid sebagai pemangku Menteri Besar Kedah, Abdullah berkata, ini kerana Datuk Seri Syed Razak Syed Zain masih belum sihat lagi.
`
Ditanya mengenai desakan lima kesatuan sekerja kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya beliau tidak melanjutkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Zainol Abidin Abdul Rashid, beliau berkata, ia belum diputuskan.“Nanti saya bincang dengan Ketua Setiausaha Negara. Kita boleh bincang bila-bila,” katanya ketika diberitahu bahawa kontrak itu akan berakhir hari ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home