Politik dan Pilihanraya

Ideologi pisahkan agama dan politik punca bukan Islam makin berani

KOTA BHARU, 20 Jan (Hrkh) – Mursyidul Am PAS menganggap pemimpin bukan Islam semakin berani mendesak kerajaan menyemak undang-undang berkaitan pertukaran agama kerana ideologi memisahkan agama dan politik masih menjadi anutan pemimpin utama negara.

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, punca berlaku tuntutan seumpama itu kerana kefahaman pemimpin yang memisahkan agama dan politik dalam pentadbiran negara sudah merebak.
“Ini punca yang mendorong pemimpin bukan Islam berani mendesak kerajaan menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama. Pemimpin negara masih menganggap agama sekadar sembahyang, puasa, keluar zakat dan menunaikan ibadat haji semata-mata.

“Anutan itu dibiar berkembang sehingga sekarang, sedangkan agama mencakupi semua bidang dalam kehidupan manusia termasuk aspek politik,” katanya pada kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini, hari ini.

Semalam 10 menteri kabinet bukan Islam dilaporkan mengemukakan memorandum bersama kepada Perdana Menteri bagi meminta Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama.

Sebelum ini Presiden MIC, Dato’ Seri S Samy Vellu meminta kerajaan meminda perlembagaan sedia ada bagi memastikan hak orang bukan Islam di negara ini lebih terpelihara.

Isu itu timbul selepas berlaku kontroversi pendaki Everest, Sarjan M Moorthy atau Mohamad Abdullah memeluk Islam sebelum kematiannya tanpa pengetahuan isterinya yang masih beragama Hindu.

Desakan pindaan itu dibuat terhadap Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. Malah ada pihak berhujah pindaan itu sekiranya dibenarkan akan menjejaskan Artikel 3 yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, penyakit itu terus merebak kerana kefahaman asas politik yang dipisahkan daripada elemen agama.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home