Politik dan Pilihanraya

Pas Jangan Lupa Akhbar Nyamuk



Tahap kesedaran parti Pas terhadap peranan dan tanggungjawab media massa sungguh tinggi dan membanggakan sejak akhir-akhir ini. Perubahan pandangan Pas mengenai media massa arus perdana kini juga sesuatu yang yang mengejutkan. Siapa sangka pada satu sewaktu dulu Pas pernah menganjurkan pembakaran (salah satu akhbar arus perdana), tetapi kini sudah dapat duduk semeja pula dengan akhbar berkenaan.

Mungkinkah perkembangan ini berkat perubahan kepimpinan Pas (dari konservatif kepada moderate) yang melanda dalam parti itu kebelakangan ini. Jika diperhatikan hubungan Pas dengan media mula menjadi jernih semula sewaktu Almarhum Fadzil Mohd. Noor menjadi presiden parti itu. Sebelum ini Pas sentiasa mencurigai kepada ‘tanggungjawab’ media arus perdana yang semestinya menjadi propagandis kepada parti kerajaan.

Banyak kata nista dan ejekan Pas kepada media perdana. Media taghut, alat Yahudi, lidah syaitan dan banyak lagi dilemparkan oleh Pas seolah-olah mereka tidak pernah kenal siapa media arus perdana itu sebenarnya.

Lantaran itu Pas mengamalkan sikap tutup pintu kepada media massa berkenaan. Laporan mengenai kegiatan Pas hanya disiarkan oleh akhbar miliknya (Harakah) dan juga akhbar-akhbar kecil atau pun oleh majalah tidak berkala yang diterbitkan oleh aktivis media yang kebetulan menjadi penyokong pembangkang.

Kemuncak kepada konfrantasi Pas dengan media arus perdana, menyebabkan Pas pernah melarang akhbar perdana daripada datang membuat liputan muktamar tahunan mereka. Gara-gara itu wartawan arus perdana terpaksa menjadi pencuri atau pengintip untuk mendapat maklumat atau berita tentang Pas.

Begitu pun Pas berhak dan mempunyai alasan kuat kenapa mereka bertindak demikian. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana media arus perdana berkenaan selain menjadi propagandis parti pemerintah mereka juga jelas melanggar tata cara (kod etika) kewartawanan yang seharusnya mereka hormat. Seolah bila berhadapan dengan Pas mereka langsung tidak memperdulikan tentang prinsip freedom of press.

Bagaimana pun apabila Fadzil Noor menjadi presiden Pas, keadaan mula berubah. Almarhum mengambil pendekatan berbaik dan bersikap terbuka dengan media massa. Hasil daripada tindakan itu akhirnya media massa arus perdana dapat menerima Pas dan sebaliknya Pas dapat menerima akan peranan dan juga ‘dunia’ surat khabar yang sedemikian rupa.

Usaha untuk memesrakan akhbar arus perdana terus berjalan hingga ke hari ini. Untuk itu berbagai aktiviti atau majlis dijalankan oleh Pas dalam memahami dan juga mendedahkan diri kepada media berkenaan. Pas tampaknya begitu menghormati akhbar harus perdana yang menjadi musuh sebelum ini.

Penerimaan dan hubungan baik Pas dengan media ini boleh dilihat sewaktu Pas sedang mengumpul bahan dan maklumat mengenai kekalahan mereka di dalam pilihan raya umum lalu. Sewaktu Pas membuat bedah siasat berhubung kekalahan teruknya itu wartawan akhbar arus perdana itu dipanggil untuk mendapatkan input dari perspektif media massa.

Hal ini tentu jarang berlaku atau tidak berlaku langsung pada dekad-dekad lalu. Bukan sahaja terbatas kepada acara itu, tetapi banyak acara lain yang melibatkan media massa, seperti makan malam bersama wartawan, sembang dengan wartawan dan sebagainya. (Cuma anugerah kewartawanan sahaja belum dibuat lagi). Pas seperti terhutang budi pula kepada media arus perdana dalam usaha untuk mengislahkan parti mereka.

Salah satu usaha yang berterusan dan menjadi tradisi ialah majlis berbuka puasa dengan wartawan dan pengarang kanan akhbar arus perdana terpilih. Usaha ini dilakukan sejak beberapa tahun lalu dan seakan menjadi tradisi di dalam Pas. Pada majlis ini wartawan dan pengarang kanan (terpilih) dipangguil untuk berbuka puasa dengan pemimpin tertinggi Pas.

Misalnya untuk tahun ini acara itu telah diadakan pada 18 Oktober lalu. Mungkin banyak wartawan dan pengarang kanan yang diundang. Namun di antara pengarang kanan yang hadir, Khalid Mohd, (Utusan) Steven Gan (malaysiakini) dan wartawan kanan The New Starits Time dan Berita Harian. Mereka ini adalah undangan tetap pada majlis ini. Tidak pula dipastikan apakah wartawan kanan dan pengarang kanan dari akhbar China turut dipanggil atau pun hadir. Namun yang jelas wartawan kanan dari akhbar India tidak dijemput.

Melihat kepada inisiatif Pas ini ia membanggakan, namun sedikit menimbulkan rasa terkilan. Semacam ada layanan atau keperihatinan double standard atau berkasta di dalam hal ini. Kemesraan Pas itu tidak merata dan bertompok. Nampaknya mereka terlupa untuk menjemput sama wartawan atau pengarang dari akhbar nyamuk (tabloid).

Apakah relevensi Pas berbuat demikian – meninggalkan wartawan dari akhbar nyamuk. Apakah di dalam minda Pas peranan dan fungsi akhbar nyamuk kepada perjuangan mereka tidak memberi banyak keuntungan? Sepatutnya ini tidak berlaku. Kerana jika diukur kepada peranan dan budi media ini dalam membantu perjuangan Pas, khasnya memberi ruangan kepada pemimpin mereka, rasanya mereka lebih besar dan kerap daripada akhbar arus perdana.

Mungkin dari penilaian sudut intelektual Pas, berita akhbar nyamuk tidak menggemparkan. Ia tidak boleh merubahkan minda dan juga belenggu pemikiran umum. Kerana pengedarannya juga tidak meluas dan pengaruhnya tidak besar. Kita akui hakikat itu. Tetapi itu sepatutnya tidak perlu dijadikan kriteria oleh Pas dalam melayani wartawan. Sebaliknya apa yang mereka harus utamakan ialah peranan media ini dalam membantu mereka.

Pas seharusnya tidak lupa kepada budi kecil akhbar nyamuk ini. Jika diukur dan dinilai secara jujur akhbar nyamuk ini ternyata lebih memberi ruang kepada Pas di dalam membantu perjuangannya. Ambil sahaja contoh akhbar Buletin Demokrasi boleh dikatakan setiap keluarannya menyiarkan berita Pas.

Apakah Pas sedar kebanyakan pemimpin mereka berkokok di dalam akhabr ini. Mahfuz Omar, Sallehuddin Ayub, Dr. Lo’ Lo’ Ghazali, Dr. Mariah Mahmud hatta Nasharuddin Mat Isa dan Abdul Hadi Awang sendiri mendapat tempat yang istimewa di dalam akhbar ini. Saya tidak fikir akhbar arus perdana akan bersedia memberi ruang seluas akhbar ini kepada pemimpin Pas di dalam menyuarakan komenter atau apa-apa pandangan mereka berhubung politik.

Tidak cukup itu, cuba Pas perhatikan dan ingat pada saat menjelang pilihan raya umum. Akhbar manakah atau puak manakah yang membantu Pas. Yang bersedia menyiarkan muka-muka calon Pas dan juga aktiviti Pas? Memberikan laporan yang positif kepada setiap ceramah Pas?

Barangkali Pusat Penyelidik Pas perlu membuat kajian berhubung hal ini. Janganlah kerana mereka akhbar nyamuk, maka mereka dikesampingkan begitu sahaja. Tahulah sedikit membalas budi orang kepada kita. Iya, mereka tidak perlu diingati, dilayani atau diberi minuman dan makanan dan duduk bersama, tetapi sebagai parti yang membawa akhlak Islam, seharusnya mereka tidak lupa budi kecil ini.

Kurang pasti saya, apakah Presiden, Timbalan Presdiden, Setiausaha Agung, Ketua Dewan Pemuda Pas dan Ketua Dewan Muslimah Pas menyedari atau tidak akan kealpaan ini. Janganlah pula apabila sudah dapat duduk semeja dengan wartawan besar, wartawanan kecil dilupakan begitu sahaja. Kalaulah Pas merasakan canggung untuk menjemput wartawan kecil duduk bersama wartawan besar, buatlah majlis berasingan. Kalau tidak mahu diadakan di hotel bertaraf tiga bintang dengan kadar bufet RM45.00 pun, buatlah digerai mamak di tepi jalan yang kadar ‘bufetnya’ RM3.50 sudah mencukupi.

Sesungguhnya wartawan dan penulis bukan mahu sangat diraikan, (rai atau tidak mereka tetap bertugas) tetapi cukup kalau sekadar mengingati mereka. Dan janganlah kerana mereka akhbar nyamuk, maka mereka tidak perlu digeruni. Ingat, di negara ini yang banyak membunuh manusia bukan gajah atau harimau, tetapi nyamuk Aedes.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home