Payung tidak melindungi Pas di Pengkalan Pasir!

Ia juga berlandaskan kepada pengakuan penyokong Umno sendiri yang mereka akan kalah. Sepuluh yang ditanya, seorang pun tidak meletakkan Umno akan menang.
Ini ditambah lagi dengan penyertaan Ibrahim Ali di dalam pilihan raya kecil itu dikira membantu Pas dan menjadikan Umno dalam keadaan tertekan. Ibrahim Ali dikira menjadi tali hayat kepada Pas untuk menyelamatkan pengkalan yang hendak ditenggelamkan BN itu. Lantaran itu Umno menerusi Annuar Musa berusaha sedaya upaya untuk memujuk Ibrahim agar tidak bertanding.
Bagaimanapun kira-kira 48 jam sebelum tiba saat mengundi, khasnya pada jam 4.00 pagi (6 Disember) saya melihat sebaliknya pula. Adalah seuatu yang miracle bagi Pas untuk menang pilihan raya kecil itu. Ukuran ini dibuat berdasarkan senario dan juga beberapa perkembangan terbaru yang luruh dan mengembang begitu drastik pada malamnya, berpihak kepada Umno.
Di antara perkembangan itu itu laporan mengenai kehadiran beberapa buah bas berplat luar yang dikatakan membawa pengundi hantu dan keagresifan Umno menjalankan kegiatan membeli undi (termasuk terhadap penyokong Ibrahim) serta membuat serangan-serangan terakhir diluar dugaan. Apa pun petunjuk yang dapat dilihat sendiri ialah apabila saya menyedari seluruh kawasan DUN Pengkalan Pasir telah “dikepung” oleh polis. Polis mengadakan sekatan jalan raya ke semua jalan yang hendak memasuki ke kawasan DUN Pengkalan Pasir.
Bermakna kawasan Pengkalan Pasir tidak mudah untuk dimasuki oleh sesiapa juga. Sekatan ketat bukan sahaja di kawasan pusat-pusat pembuangan undi, tetapi di seluruh Pengkalan Pasir. Pengkalan Pasir menjadi seperti kawasan yang didharuratkan. Kecuali jalan besar sahaja tidak adakan sekatan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Mungkin hakikat ini tidak disedari oleh Pas dan orang ramai. Atau kalau sekalipun Pas menyedari, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana kuasa itu terletak di pihak kerajaan dan ia pula dilakukan pada saat-saat akhir. Keadaan seperti ini di mana kawasan DUN dikepung tidak pernah berlaku. Kalau pun ada sekatan hanya di jalan-jalan tertentu sahaja dan kereta masih dibenarkan bebas masuk keluar ke kawasan pilihan raya.
Menerusi sekatan jalan raya ini mana-mana kereta yang hendak memasuki ke kawasan pilihan raya itu akan dichannel ke jalan lain. Atau pun kereta berkenaan diminta meletakkan kenderaan jauh dari kawasan pilihan raya berkenaan. Sebaliknya sesuatu yang aneh pula, ada kereta tertentu dibenarkan masuk dengan bebas ke kawasan pilihan raya tanpa sebarang masalah dan pemeriksaan rapi.
Lebih menimbulkan tanda tanya, di atas kereta yang dibenarkan masuk itu terdapat beberapa orang, yang gaya dan rupanya seperti pengundi. Salah satu tempat yang berlaku peristiwa ini ialah di sebatang jalan dalam peti undi Slow Machang. Apakah ini pengundi hantu yang disusup masuk?
Itulah perbezaan, dan saya melihat ianya sebagai strategi baru pihak SPR dan juga keselamatan, Polis. Apakah ia berbuat demikian dengan membawa motif busuk di sebaliknya, ataupun ikhlas untuk mengawal keselamatan? Apapun Pas semasa membuat postmortem kekalahannya nanti perlu mengambilkira hal ini.
Di sini saya tidak mahu mengatakan strategi baru itu menjadi penyebab pada kekalahan Pas. Seperti alasan kemenangan kepada BN, yang mempunyai seribu alasan, begitu jugalah alasan kekalahan Pas itu ada seribu alasan benar dan tidak benarnya. Di sini kita tidak boleh menerima strategi baru kawalan keselamatan itu sebagai satu-satu penyebab konkrit ketewasan Pas.
Umum tahu, sebelum ini Pas meletakakan harapan menang cerah apabila Ibrahim Ali menyertai pilihan raya itu. Atas mempercayai bekas Ketua Umno Pasir Mas itu akan dapat meraih 1600 undi berpandukan kepada undi untuknya bagi calon bebas di kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya 2004 lalu, angka itu dikira cukup bagi Pas untuk mengalahkan Umno.
Bahkan kalau pun 1,000 sahaja Ibrahim memperolehi undinya itu, ia sudah melegakan Pas dan akan menang dengan majoriti di bawah 300 undi. Peramal politik dan juga tokoh Pas yang rasional, sesekali tidak membayangkan Ibrahim akan mampu untuk meraih 1600 undi, apa lagi sampai 2,000 lebih seperti mana dakwa Ibrahim dan pengikut setianya.
Justeru Pas menaruh harapan besar dan ‘merestui’ Ibrahim menyertainya. Pas tidak melarang akan maksud Ibrahim itu, seperti mana BN beriya memujuk dan berunding agar Ibrahim menarik hasratnya itu kerana Pas sangat yakin Ibrahim akan memberi keuntungan kepadanya dan payung dapat meneduhkan Pas dari pancaran mentari dan juga titisan hujan di Pengkalan Pasir pada 6 Disember lalu.
Sebaliknya, apa yang berlaku mengejutkan. Ibrahim hanya berjaya mengutip 415 undi sahaja. Ini bererti beliau gagal untuk memastikan 700 orang jentera parti yang juga pengundi fanatiknya, mengundinya. Kegagalkan ini sesuatu yang amat menarik dan sungguh mengejutkan. Apakah situasi ini juga yang menjadikan keajaiban yang berlaku dalam tempoh 48 jam sebelum tiba hari mengundi itu?
Kenapa terjadi demikian? Banyak persoalan dan tanda tanya yang boleh dihimpun tetapi sukar untuk dilangsaikan di sini. Macam-macam andaian timbul dan ada yang mengatakan Ibrahim telah menarik handbreak pada saat-saat akhir? Kenapa begitu?
Kalau benar begitu sukar pula untuk diketahui kenapa sebabnya? Apakah Ibrahim baru menemui formula baru dan mendapat janji baru, lantas terpaksa bertindak drastik begitu? Kalau janji baru dengan siapa? Bagaimanapun segala itu tidak mustahil kerana beliau berada dalam putaran arus politik yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamat (cita-cita).
Jika diperhatikan kepada graf perjuangannya dikatakan turun mendadak empat hari sebelum mengundi, ada kemungkinan bahawa ahli politik kontroversi terus bermain politik di Pengkalan Pasir sehingga ke saat-saat akhirnya. Kemungkinan beliau membuat perubahan pegangan disaat-saat akhir tidak boleh diketepikan.
Dan saya tanpa meletakkan Ibrahim terus berpolitik, yang jelasnya undi yang diperolehi beliau menunjukkan beliau sudah tidak popular lagi. Segala budi dan jasa yang beliau taburkan di Pasir Mas yang sering diungkitkan oleh beliau, tidak sedikit pun dipandang oleh rakyat Pasir Mas. Maksudnya rakyat Pasir Mas sedikit pun tidak bersimpati kepadanya.
Masalahnya, apakah dengan hakikat yang berlaku itu – beliau dilihat gagal memenangkan Pas sedangkan persepsi umum mengatakan kehadirannya dapat membantu Pas, beliau akan dihormati sebagai seorang pejuang rakyat dan seorang pejuang yang tulus dan ikhlas? Sesungguhnya nasib Ibrahim di dalam politik pada masa akan datang tidak secerah harapannya sebelum 6 Disember lalu.
Kegagalannya meraih 1,000 undi meyebabkan Pas mungkin akan ‘tersangka’ bahawa Ibrahim bermain kayu tiga di Pengkalan Pasir. Sekiranya ini wujud dalam hati Pas, maka harapan Ibrahim untuk mendapat laluan mudah dari Pas untuk bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas di masa akan datang bukan semudah yang dibayangkan itu.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home