Politik dan Pilihanraya

Petisyen pilihan raya: PAS sudah kumpul cukup bukti penipuan

KOTA BHARU, 15 Dis (Hrkh) – PAS mempunyai bukti yang cukup penipuan dan penyalahgunaan kuasa berleluasa berlaku dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir baru-baru ini.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Takiyudin Hassan berkata, pihaknya yakin akan mendapat kerjasama sepenuhnya dengan pihak-pihak yang terlibat dengan penipuan ini.

Katanya, sekurang-kurangnya lima orang pengundi yang terlibat dengan ‘penyamaran pengundi’ dalam pilihan raya itu sudah bersedia untuk memberi keterangan sebagai saksi apabila pestisyen pilihan raya berkenaan dibuat kelak.

Takiyuddin berkata, lima pengundi berkenaan adalah sebahagian dari 20 orang yang terlibat dalam ‘penyamaran pengundi’ di Dun berkenaan yang sanggup memberi keterangan dalam mahkamah pilihan raya selepas petisyen mengenainya dibuat.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengumumkan, PAS akan membuat petisyen pilihan raya selepas mempunyai bukti kukuh penyelewengan dan pelanggaran peraturan telah berlaku dalam pilihan raya kecil itu.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat JK PAS Pusat Ahad lepas.

Sebelum itu, sebaik sahaja keputusan rasmi diumumkan, timbalannya, Nasharudin Mat Isa telah mengumumkan cadangan untuk membuat petisyen pilihan raya itu.

Kata Takiyudin yang juga Exco kerajaan negeri, bukti-bukti lain juga sudah dan sedang dikumpul untuk mengukuhkan dakwaan untuk dikemukakan nanti termasuk gambar mereka yang terlibat.

“Kita tidak bercakap kosong bahkan kita ada bukti mengenainya (penyamaran pengundi),” ujarnya yang juga sorang peguam.

Menurutnya lagi, penyamaran atau pengundi hantu adalah kesalahan yang paling jelas dilakukan dalam pilihan raya kecil baru-baru ini di samping majlis-majlis jamuan dan rasuah lain.

“Penyamaran sebagai pengundi, pengundi hantu termasuk menyamar mengundi atas nama orang yang dah mati atau menyamar mengundi orang yang hidup, tetapi namanya telah digunakan oleh orang lain adalah menjadi kesalahan dalam pilihan raya.

“Kita akan kemukakan petisyen pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secepat mungkin sekurang-kurangnya selepas 60 hari memandangkan tindakan itu amat bersalahan dalam pilihan raya,” ujarnya.

“Kita ada juga pengundi berdaftar, tetapi namanya sudah digunakan oleh pengundi yang lain,” ujarnya.

Takiyuddin seterusnya memberitahu, mangsa penyamaran ini sebahagian besarnya adalah terkena pada penyokong PAS menyebabkan mereka tidak dapat membuang undi disebabkan namanya sudah digunakan oleh pengundi lain.

“Mungkin ada juga penyokong Umno mengalami nasib yang serupa, tetapi itu kemungkinanlah, yang jelas pengundi dari penyokong PAS ramai mengalami masaalah itu,” ujarnya lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home