Politik dan Pilihanraya

PAS Tawar RM15,000

PENGKALAN PASIR, 2 Dis (Hrkh) – Peluang membuat duit di Pengkalan Pasir. Bukan rasuah tetapi anugerah kepada mana-mana pihak yang berjaya memberikan maklumat sehingga tertangkapnya pengundi hantu.

PAS menawarkan ganjaran sehingga RM15,000 kepada mana-mana pihak atau individu yang mempunyai maklumat sahih berkaitan pengundi hantu, rasuah dan politik wang.

Setiausaha Agungnya, Dato’ Kamarudin Jaffar berkata, PAS memandang serius isu pengundi yang tidak layak mengundi atau pengundi hantu serta rasuah politik atau politik wang.

“Ia menyalahi prinsip demokrasi dan tidak menghormati undang-undang negara ini,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Markas Besar PAS di Kampung Jias, hari ini.

Katanya, berdasarkan pengalaman pilihan raya umum yang lalu, PAS mendapati terdapat kecenderungan membawa masuk para pengundi luar yang tidak layak mengundi dengan berbagai-bagai cara untuk mengundi di Dun Pengkalan Pasir.


PAS juga, ujarnya mengesan pemberian wang yang berunsur rasuah bagi mendapatkan undi yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dan perkara itu berlaku secara berleluasa.

Tambahnya, PAS berazam membanteras amalan-amalan jahat tersebut yang merupakan tunjang pihak-pihak berkenaan.

Suhubungan itu, katanya PAS mengajak rakyat khususnya penduduk Pengkalan Pasir untuk bersama-sama dengan PAS menunjukkan contoh politik yang bersih dengan membenci dan membanteras pengundi hantu dan politik wang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat mengajak rakyat khususnya penduduk Pengkalan Pasir menjadikan rasuah dan politik wang sebagai musuh nombor satu negara.

“PAS menegaskan bahawa amalan memasukkan pengundi luar dijelmakan sebagai pengundi hantu dan memberi rasuah kepada pengundi bukan sahaja menyalahi seruan mengamalkan kempen yang bersih tetapi juga menjejaskan kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati rakyat khususnya penduduk Pengkalan Pasir,” ujarnya.

Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat tersebut boleh membuat aduan dengan menghubungi bilik gerakan PAS di talian 09-7981562 atau 09-7964714.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home