Politik dan Pilihanraya

Hanifa Terima Ucapan Tahniah Dari Menteri

PENGKALAN PASIR, 28 Nov (Hrkh) – Haji Hanifa Ahmad menerima ucapan tahniah daripada menteri dan timbalan-timbalan menteri kerana bersedia menjadi calon PAS pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir.

Malah, bukan sekadar itu sahaja, mereka juga mendoakan kejayaan diraihkan bekas Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan tersebut.

“Menteri yang merakamkan ucapan tahniah terbabit adalah pemimpin Umno. Namun mereka membisikkan tidak boleh memberi sokongan terbuka kerana takut terlepas jawatan yang dipegang sekarang.

“Ini seakan-akan memberi gambaran sabotaj dalaman berlaku terhadap Umno sehingga pemimpin mereka lebih selesa kemenangan berpihak kepada calon PAS,” dakwa beliau pada ceramah di Padang Mini Stadium Pasir Mas malam tadi.

Ceramah perdana itu dihadiri puluhan ribu penduduk tempatan dan jentera kempen Barisan Altenatif dari seluruh negara. Hadir sama, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin kanan PAS serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Hanifa yang lebih dikenali sebagai Abe Par memberitahu pengalaman lampau yang ditimba akan dimanfaatkan kembali bagi membantu rakyat di DUN Pengkalan Pasir.

Katanya, pada 1982 beliau pernah berkhidmat sebagai Adun di kawasan Meranti dan Exco kerajaan negeri. Sebelum itu bertugas sebagai pegawai tadbir dan diplomat di bawah kerajaan Pusat.

Manakala pada 1991 hingga 23 November lalu, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PKINK.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home