Politik dan Pilihanraya

Sekiranya Kalah Di Pengkalan Pasir: Umno Patut Dibubar – TG Nik Aziz

Oleh SALMAH MAT HUSSAIN

RANTAU PANJANG, 20 Nov (Hrkh) – PAS tidak akan melayan sebarang ‘kerenah’ pemimpin Umno yang menggesa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dibubar sekiranya Umno memenangi pilihan rakyat kecil Pengkalan Pasir pada 6 Disember ini.

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, bagaimanapun berkata, beliau pula berhak mencadangkan Umno membubarkan parti itu sekiranya kalah dalam pilihan raya kecil itu nanti.

“Saya minta pihak mereka (BN) yang bubar parti itu sekiranya mereka kalah dalam pilihan raya kecil ini nanti. Sudahlah… saya tak akan melayan kerenah mereka lagi, dia yang cakap besar peringkat awal dulu suruh orang bubar DUN dan sebagainya, alih-alih letak syarat pula,” katanya selepas merasmikan Mydin Mart Rantau Panjang, di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Ketua Perhubungan Umno, Dato’ Seri Annuar Musa dipetik sebagai berkata, kesemua 21 wakil rakyat BN Kelantan bersedia untuk meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri diadakan dengan syarat langkah yang sama turut dilakukan 23 wakil rakyat PAS.

Malah, sebelum itu beliau beberapa kali membuat kenyataan yang sama dengan menggesa kerajaan PAS membubarkan DUN sekiranya Umno memenangi pilihan raya DUN Pengkalan Pasir.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS, Haji Husam Musa menjelaskan wakil rakyat sepatutnya meletak jawatan bagi membolehkan pilihan raya diadakan di kawasan mereka, bagi menguji pengaruh sebenar.

Menurut Annuar kesemua wakil rakyat BN telah berbincang serta bersetuju untuk berbuat demikian dan akan membuat majlis berkenaan pada 1 Disember ini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, sekiranya wakil rakyat PAS bersedia membubarkan DUN Kelantan, belum tentu mereka (BN) akan berbuat demikian.

“Jadi, tak payahlah cakap banyak, kami ni.. bukannya bodoh nak ikut saja apa yang dia cakap,” ujarnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home