Politik dan Pilihanraya

300 penyokong Umno di Pengkalan Pasir sertai PKR

PASIR MAS, 19 Nov (Hrkh) – Kira-kira 300 penyokong Umno di beberapa cawangan di sekitar Unit Peti Undi Kasa berpaling tadah apabila mereka meninggalkan perjuangan lama untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana hilang keyakinan terhadap kepemimpinan parti itu.

Kumpulan penyokong Umno itu diketuai bekas Ketua Pemuda Umno Cawangan Kubang Gatal, Mohd Rozi Husin. Pengiytiharan menyertai PKR secara beramai-ramai akan dilakukan tidak lama lagi yang dijangka turut dihadiri Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd Noor.
Setiausaha PKR Bahagian Pasir Mas, Haji Mohd Kamaruddin Zakaria berkata, sebahagian mereka sudah mengisi borang menyertai PKR baru-baru ini.

“Dengan penyertaan beramai-ramai itu memberi pukulan hebat kepada Umno kerana di Kubang Gatal sebelum ini dikenali kubu Umno sejak zaman berzaman. Malah PAS sukar untuk bertapak disebabkan sebahagian besar penduduk sudah sebati dengan Umno.

“Lagi pun di kawasan itu ada kelas Kemas yang menjadi tumpuan masyarakat tempatan. Kita percaya dengan sokongan padu pemuda di kampung berkenaan, kubu Umno di kawasan lain akan dipecahkan tidak lama lagi,” ujarnya di sini.

Kampung Kubang Gatal sebelum ini dikenali sebagai kubu Umno paling kuat di UPU Kasa. Mohd Kamaruddin berkata, PKR Pasir Mas sekarang menjadi tumpuan golongan muda dan sebahagian mereka sudah mengisi borang menjadi ahli PKR bagi meneruskan perjuangan reformasi di negara ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home