Politik dan Pilihanraya

Siapa Sebenarnya Ketua?

Oleh SALMAH MAT HUSEIN

KOTA BHARU, 16 Nov (Hrkh) – Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat melahirkan rasa kesal dengan sikap Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turun melayan tabiat anak-anak buahnya yang nakal termasuk cadangan membubarkan Dewan Undangan Negeri.

“Sepatutnya dia (Perdana Menteri) tidak boleh melayan sikap anak-anak buah yang nakal, ada yang suruh bubar dewan, dia juga turut melatah sama.

“Dia kena ingat, dia tu Perdana Menteri Malaysia bukan Perdana Menteri pada orang-orang Umno sahaja, jadi kena jagalah,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Nik Aziz mengulas kenyataan Abdullah yang mengikut kenyataan timbalannya, Najib Tun Razak yang mendesak kerajaan negeri Kelantan membubarkan DUN jika kalah dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir.

“Siapa ketua dan siapa timbalan nih. Ke Abdullah sekadar pak turut Najib,” tanya seorang penganalisis politik.

Dalam sidang akhbar itu, Nik Aziz sekali lagi bertegas, kerajaan negeri tidak akan membubarkan dewan biarpun terpaksa berhadapan dengan kekalahan dalam pilihan raya kecil itu nanti.

Sambungnya, tidak ada sebab kerajaan negeri harus membubarkan Dewan Undangan Negeri Kelantan, kerana jumlah kerusi masih memihak pada PAS.

“Lagipun sekiranya Umno dan BN menang, ianya tidak boleh digambarkan sebagai kehendak atau pilihan hasrat rakyat seluruh negeri ini, apa lagi pilihan raya ini pengundi terpaksa berhadapan pelbagai tekanan, ugutan, rasuah serta gentera kerajaan yang lain,” ujarnya.

Buktikan ketegasan banteras rasuah
Pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) juga diminta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli parti mereka yang menggunakan kaedah politik wang dalam kempen pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir 6 Disember ini.

Nik Abdul Aziz berkata, sekiranya pemimpin parti itu bertegas untuk membanteras politik wang, mereka hendaklah mengamalkannya bermula dari sekarang.

Menurutnya lagi, sekiranya Umno gagal berbuat demikian hasrat untuk membebaskan budaya politik wang di kalangan parti tersebut yang semakin berleluasa tidak akan berhasil.

“Kalau nak atasi masaalah itu, budaya politik wang tidak seharusnya diperangi dalam Perhimpunan Agung Umno sahaja, sebaliknya dalam pilihan raya juga,” ujarnya lagi.

Beliau juga turut mencadangkan supaya Umno menggugurkan mana-mana orang politik mereka yang terlibat dengan politik wang sekiranya mereka benar-benar ingin membersihkan imej parti itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home