Politik dan Pilihanraya

Ibrahim Ali Bersumpah Dengan Nama Allah Akan Bertanding

PENGKALAN PASIR, 19 Nov (Hrkh) – Bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Dato’ Paduka Ibrahim Ali bersumpah dengan nama Allah beberapa kali dan menjelaskan beliau akan bertanding sebagai mewakili penyokongnya pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir, pada 6 Disember ini.

“Saya bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi sebagai mewakili rakyat Pasir Mas untuk menawarkan diri bertanding pada pilihan raya kecil ini. Saya mahu keris Taming Sari yang dirampas sebelum ini dikembalikan kepada saya. Saya telah bulat hati untuk turun gelanggang kali kedua,” katanya di depan ribuan penyokongnya di Markaz Dato’ Ibrahim Ali pada ceramah pertama sekembali dari luar negara, malam tadi.
Sebelum itu beliau disambut ratusan penyokong di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa kira-kira jam 7.45 malam tadi. Beliau begitu terharu dengan sambutan penyokongnya. Hadir sama menyambut kepulangan Adi Jagat, bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Dato’ Hassan Ismail dan bekas ajk Umno, Mohamad Yaman.

Selepas itu beliau dan rombongan bergegas ke Pasir Mas bagi menemui penyokongnya. Kelihatan hadir pada majlis itu, bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Ahmad Rusli Ibrahim dan Pengarah Pilihan raya Ibrahim, Haji Mohamad Nor Awang.

Ibrahim yang sebak ketika berucap meminta penyokongnya yang hadir mengangkat tangan bagi menyatakan sokongan terhadapnya. Kemudian mereka yang hadir beramai-ramai mengangkat tangan.

“Ambo bersedia menjadi seperti Dr Azhari dan al Qaeda yang rela berkorban untuk rakyat demi sebuah perjuangan. Dua faktur utama menyebabkan saya bersedia bertanding kerana mahu membela nasib bangsa dan membela semula nasib bangsa Melayu yang semakin terpinggir sekarang. Oleh itu saya berharap pilihan raya yang diadakan ini benar-benar bersih,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau bimbang pengundi memperdayakannya dengan memilih calon lain.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home