Politik dan Pilihanraya

Pemuda Tahan Lasak Umno Minta Air Tawar Tok Guru

PASIR MAS, 21 Nov (Hrkh) – Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa terkejut dengan pelawaan bekas Ketua Pemuda Tahan Lasak Umno yang mengajak beliau mengunjungi kediamannya.

“Tidak pernah berlaku dalam hidup saya, orang Umno ajak saya naik rumah mereka, inilah pertama kali saya mendapat pelawaan sebegini, tidak hanya sekadar naik sahaja, malah dia minta saya buat air tawar dan berdoa,” ujarnya kepada wartawan pada sidang media selepas menyampaikan Sijil Takaful Khairat Kematian kepada 325 armalah dalam Dun Pengkalan Pasir di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas
Menurutnya, ramai bekas pemuda tahan lasak Umno yang menjemput beliau ke rumah mereka.

“Bukan setakat seorang dua (bekas pemuda tahan lasak Umno) yang membuat pelawaan tersebut, malah ramai,” ujarnya.

Beliau berkata, situasi itu berlaku kerana mereka melihat Kerajaan Negeri Kelantan dipimpin oleh golongan Islam yang diterajui oleh ulamak yang berpandukan kepada al-Quran.

Katanya, tidak ada yang tidak kena dengan kerajaan negeri sekarang yang dipimpin oleh ulamak. Beliau turut mengaitkan keadaan yang berlaku itu dengan perkembangan yang berlaku kepada gerakan Islam Ikhwan Muslimin di Mesir.

“Kita lihat kepada Ikhwan Muslimin yang selama ini menerima tekanan yang hebat, pernah dipenjara, diburu oleh (kerajaan) negerinya sendiri, tetapi sekarang diberi peluang bertanding, akhirnya dia berjaya menyapu bersih semua kerusi di bandar Iskandariah,” ujarnya lagi.

Begitu juga, katanya, apa yang berlaku di zaman pemerintahan Saidina Ali apabila ada yang bertanya kepada Saidina Ali mengenai kepimpinannya dengan Muawiyah.

Katanya, Saidina Ali menjawab: Kalau kamu cari orang, sampai bila perkara ini tidak akan selesai, maka carilah yang benar, hanya satu yang benar iaitu Al-Quran.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga mengimbau mengenai PAS yang pernah ditendang daripada Barisan Nasional suatu masa dahulu walaupun beliau sendiri yang meminta orang PAS supaya menyokong BN bagi mewujudkan keamanan.

“Saya sendiri sebagai pemimpin PAS pernah meminta orang PAS menyokong Barisan sebabnya kita mahu wujudkan keamanan tetapi bila kita dah berada dalam parti tersebut, kita pula ditendang, peristiwa tersebut masih segar dalam ingatan saya,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home