Politik dan Pilihanraya

Pak Lah PENING Memikirkan Calon Mana Yang Akan Dipilih Pada PRK Pengkalan Pasir?

Oleh AMIRULREZA

Assalamualaikum w.b.t

Nampaknya semua rakyat pelbagai latarbelakang politik sudah berkampung di Pengkalan Pasir, tidak kiralah pihak PAS mahupun pihak UMNO. Annuar Musa dan Mustapha Muhammad pula sibuk memberikan pelbagai ulasan untuk menarik perhatian para pengundi di Pengkalan Pasir tentang hasratnya untuk menawan Pengkalan Pasir seterusnya menekan Kerajaan Pas Kelantan agar membubarkan kerajaan negeri.

Jelas jika dilihat antara 2 personaliti UMNO Kelantan ini iaitu Mustapha Muhammad dan Annuar Musa, mereka ini seolah-olah berada di atas 2 pentas berlainan untuk berkempen. Jika kita lihat pada pilihanraya umum yang ke-11 lalu, Mustapha Muhammad adalah personaliti utama untuk merangka strategi untuk menumbangkan Kelantan.

Namun kini senario itu sudah berubah, rakyat kini sudah berada di dalam pemerintahan Pak Lah selaku Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 dan sudah merasa betapa kerapnya kenaikan harga minyak yang seterusnya memberi impak kepada kenaikan harga barang yang 'menggila' diserata Malaysia. Malah kini jawatan selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan telah berjaya dirampas dan kini milik Annuar Musa!

Mustapha Muhammad nampaknya kehabisan modal untuk terus menjawab mengapa harga minyak perlu dinaikkan. Sekarang kita lihat apa yang berlaku di United Kingdom tentang kenaikan harga minyak. Menurut kenalan saya yang kini berada di Southampton, apa yang kita faham sebagai demonstrasi jalanan, telah berjaya menekan kerajaan UK untuk menurunkan harga minyak dan kini dilaporkan bahawa harga minyak telah diturunkan hingga mencapai harga asal seperti sebelumnya! Mengapa terjadi begitu? Sama-samalah kita renungkan.

Di Malaysia, dek kerana terhutang budi kepada kerajaan Perikatan untuk merdeka, maka selama-lamanya lah rakyat Malaysia akan terus memberi mandat kepada mereka itu. Namun tidak tahulah samaada memang rakyat marhaen seantero Malaysia terutamanya orang BN sedar atau tidak bahawa parti perikatan kini sudah berkubur dan kerajaan BN kini adalah BUKAN suatu gerakan yang wujud ketika negara mencapai kemerdekaan. Malah parti UMNO sekarang pun adalah UMNO BARU yang baru ditubuhkan dan bukannya UMNO yang wujud ketika negara mencapai kemerdekaan!

Berbalik kepada pilihanraya kecil yang sedang berlaku di Pengkalan Pasir, pihak UMNO kini sedang bergolak untuk menentukan siapakah yang akan menjadi calon di dalam pilihanraya kecil berkenaan.

Di dalam penentuan calon itu jelas menunjukkan bahawa Mustapha Muhammad lebih berpengaruh untuk meyakinkan Pak Lah bahawa Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas / Tumpat, Ustaz Kamarulzaman Abdul Ghani dan fellow kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia, Ustaz Othman Muhammadi adalah calon yang munasabah untuk menjadi calon kali ini berbanding nama Naib Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Johan Che Pa yang menjadi pilihan Annuar Musa.

Seandainya pilihan Annuar Musa iaitu Johan Che Pa tidak terpilih untuk menjadi calon pada kali ini maka jelaslah bahawa jawatan Annuar Musa selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan masih tidak memberikan pengaruh kepada Pak Lah untuk menyebelahinya. Jika calon Mustapha Muhammad pula yang terpilih maka nampaknya jelaslah disini bahawa Annuar Musa kalah dalam membentuk pengaruh di dalam UMNO Kelantan.

Atau adakah wujud calon lain bagi tidak mengacau 'keharmonian' antara kedua-dua tokoh berkenaan? Yang pasti jika calon lain terpilih itu adalah nama yang lain daripada apa yang disenaraikan oleh Annuar Musa dan Mustapha Muhammad maka akan wujudlah kekacauan yang akan meruncingkan lagi keadaan di dalam rumah tangga UMNO Kelantan di dalam masa yang terdekat ini. Dan akan wujudlah acara 'pemboikotan' oleh kedua-dua tokoh berkenaan terhadap calon yang terpilih itu walaupun kedua-dua tokoh itu akan menyangkal dakwaan bahawa mereka memboikot !

Selain itu, saya juga ingin mengajak pembaca sekalian memerhatikan kenyataan bekas Ketua Umno Pasir Mas iaitu Zubaidah Awang Chik pada 11 Nov 2005 lalu yang mendakwa

"Anggota parti bahagian Pasir Mas kini menghadapi masalah dalaman yang serius termasuk pemilihan calon kerana perpaduan dalam parti (UMNO) belum berada pada tahap yang baik".

Jadi jelaslah di sini bahawa pergolakan yang berlaku di dalam UMNO Kelantan terutamanya di bahagian Pasir Mas sememangnya tidak boleh diselindungkan lagi. Malah saya juga dapat merasakan bahawa para pengundi di kawasan Pengkalan Pasir sudah matang di dalam memilih calon pada kali ini. Malah inilah juga cara yang terbaik untuk 'mengajar' kerajaan BN yang bertindak menaikkan harga minyak sebanyak 3 kali pada tahun ini !

"Kalau Nak Menurut Biar Berakal, Kalau Mengikut Biar Pintar"

Sekian.

Sila lawati http://amirulreza.2ya.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home