Politik dan Pilihanraya

Muslimat Setiap Negeri Perlu Hantar Petugas Bantu Calon PAS

Oleh SALMAH MAT HUSSAIN

PASIR MAS, 14 Nov (Hrkh) - Dewan Muslimat PAS setiap negeri disaran menghantar sekurang-kurangnya 100 petugas untuk membantu calon PAS pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir, 6 Disember ini.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Azizah Khatib Mat berkata, kehadiran mereka amat penting untuk membantu calon PAS yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti.

"Lagi ramai lagi baik, sebab pilihan raya kecil ni tak sama dengan pilihan raya umum perlawanannya lebih sengit sebab PAS akan berhadapan dengan semua jentera kerajaan Pusat dan bukan sahaja Umno dan Barisan Nasional (BN)," ujarnya ketika ditemui di Markaz Muslimat di Kubang Bemban, kelmarin.

Azizah berharap petugas terbabit hendaklah berada di Pasir Mas selewat-lewatnya 16 November ini. Selain itu beliau juga mengalu-alukan petugas individu yang ingin turut membantu jentera kempen muslimat.

"Saya berharap semua pimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat turun untuk bersama-sama membantu jentera di peringkat bawah," katanya. Beliau juga berharap pengundi di DUN Pengkalan Pasir mengekalkan kemenangan calon PAS demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Menurutnya, penduduk dapat menikmati ketenangan sebenar sejak kerajaan PAS mentadbir negeri Kelantan lebih 15 tahun lalu.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Senator Siti Zailah Mohd Yusof berharap pengundi di Pengkalan Pasir tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji ditabur Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, pendekatan 'berhemah' yang kononnya mahu digunakan Umno hanyalah sebagai usaha untuk memancing undi dan memperlihatkan parti itu bersikap sederhana.

"Pengundi di Pengkalan Pasir seharusnya sedar taktik kotor yang sering dimainkan pihak lawan setiap kali pilihan raya diadakan," ujarnya.

Siti Zailah berkata, Umno tidak akan menggunakan pendekatan berkenaan, biar pun pengerusi perhubungannya menguar-uarkan perkara tersebut. "Sebenarnya sekiranya Umno menggunakan kaedah terbabit negara ini sudah lama dikuasai pembangkang.

"Tanpa ugutan dan politik wang sudah tentu rakyat tidak akan takut untuk memilih pembangkang kerana sedar banyak penyelewengan yang dilakukan," ujarnya.

Baru-baru ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Seri Annuar Musa berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan berhemah dalam kempen pilihan kecil Pengkalan Pasir.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home