Politik dan Pilihanraya

Ustaz Kamalruzaman Semakin Pasti Jadi Calon BN?

PASIR MAS, 13 Nov (Hrkh) – Masalah calon kini dikatakan benar-benar menghantui Umno dan Barisan Nasional (BN) apabila parti itu sukar menepati kehendak Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mendapat secepat mungkin senarai calon pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir.

Kekecewaan Presiden Umno dapat dilihat berdasar kepada kenyataan yang menyebut “kita mesti mengemukakan nama calon awal, kita tidak boleh tunggu lama-lama sangat. Itu yang penting,” katanya di Afrika Selatan kelmarin.
Rasa tidak puas hati Perdana Menteri dikesan lagi apabila menyebut, beliau tidak pasti sama ada Badan Perhubungan Umno Kelantan sudah menyenarai atau mengemukakan nama yang dicadangkan.

Sebelum ini bertiup kencang, Naib Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Johan Che Pa menjadi pilihan utama kepada Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Annuar Musa berbanding calon-calon lain termasuk Ketua Bahagian, Dato’ Abdul Rahim Abdul Rahman dan timbalannya, Hanafi Mamat.

Bagaimanapun mengikut sumber, Presiden Umno mahu mengetengahkan calon berkelulusan agama. Antara yang menjadi pilihan iaitu Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas / Tumpat, Ustaz Kamarulzaman Abdul Ghani dan fellow kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia, Ustaz Othman Muhammadi.

Kedua-dua tokoh tersebut dikatakan cuba diketengahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mustapa Mohamed. Bagaimanapun difahamkan ia kurang disenangi Annuar.

Menurut sumber, Mustapa berusaha mengetengahkan calon terbabit dan hari ini, ia terbukti apabila satu perjumpaan membabitkan beliau dan pegawai serta kakitangan kerajaan Pusat di mana sebahagian besar kalangan guru diadakan di Sekolah Kebangsaan Mekasar, Pasir Mas pagi tadi.

Katanya, tidak semua guru yang mengajar di Pasir Mas dijemput hadir pada perjumpaan tersebut. “Mereka yang hadir dipilih Pemuda Umno dan PPD kerana ia dianjurkan pihak berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun Annuar tidak kelihatan pada majlis itu, biarpun turut hadir ketua Umno bahagian Pasir Mas dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Calon yang cuba diketengahkan iaitu Ustaz Kamarulzaman hadir dan berucap kepada kira-kira 300 jemputan yang hadir. Pemerhati politik melihat Mustapa cuba mengetegahkan lebih awal calon yang menjadi impian kepada Presiden, biar pun bertentangan dengan kehendak Annuar.

“Ini memandangkan di Kelantan sekarang tidak ada wakil rakyat yang berkelulusan agama bagi berdepan dengan wakil rakyat PAS di DUN, yang mana sebahagian besar mempunyai latar belakang berpendidikan agama.

“Kehadiran seorang ustaz diharap oleh Abdullah bagi berganding bahu dengan Adun Bukit Tuku dan Semerak yang sebelum ini boleh berhujah sedikit sebanyak dalam konteks agama,” ujarnya.

Difahamkan juga sebuah rumah yang dimiliki keluarga Kamarulzaman dijadikan pos Umno di Simpang Tiga Jias. Pos itu antara terawal yang dibuka di Pengkalan Pasir.

Mengulas isu tersebut, Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mudah-mudahan Allah terus biarkan kecamuk melanda Umno dalam isu pemilihan calon mereka.

“Sebelum ini mereka membuat kecamuk kepada kita, sekarang Allah berikan pula kepada mereka kecamuk, ini sebagai satu pembalasan kepada mereka. Saya memang yakin keadaan kecamuk berlaku dalam Umno sekarang.

“Ini kerana target perjuangan mereka hanya untuk duniawi dan bukan Islam. Target mereka hendak cari perkara yang cepat. Sedangkan kita perjuangan Islam bagi mendapat keredhaan Allah di akhirat kelak.

“Siapa yang berkelayakan untuk membawa manusia di depan Tuhan di akhirat kelak. Nabi Muhammad Saw pesan jangan berebut menjadi ketua, Allah hanya akan serah kepada seseorang untuk memikul tugas itu kalau kita berebut, tetapi kalau tidak berebut maka Allah akan tolong kamu,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Ditanya mengenai calon PAS katanya, persediaan yang secukupnya sudah dibuat dan apabila tiba masanya ia akan umumkan. Harakahdaily.net difahamkan pengumuman calon PAS akan dibuat pada malam 25 November ini pada satu majlis ceramah di Markaz Besar PAS di Kampung Jias.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home