Politik dan Pilihanraya

Beza Satu Kerusi, Tidak Ganggu Pentadbiran Kerajaan – Speaker

KOTA BHARU, 10 Nov (Hrkh) – Speaker DUN Kelantan menjelaskan tidak ada perbezaan yang ketara terhadap parti yang menang dengan ‘majoriti mudah’ (simple majority) mentadbir kerajaan, biar pun bilangan kerusinya berkurangan.

Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, majoriti dengan kelebihan satu, dua atau tiga kerusi tidak menggugat sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini sekarang.

“Dari segi pentadbiran kerajaan tidak ada perbezaan yang begitu ketara sangat bagi parti yang menang dengan majoriti mudah seperti dialami di Kelantan sekarang.

“Mana-mana enakmen dibawa ke persidangan DUN boleh dilulus tanpa sebarang masalah kerana sudah menjadi amalan Speaker meminta setiap ahli dewan menyatakan persetujuan sebelum enakmen itu diluluskan,” katanya di sini.

Bagaimanapun kata beliau sekiranya timbul berbelah bagi di kalangan ahli dewan sebelum kelulusan dibuat, Speaker boleh meminta setiap ahli menyatakan persetujuan seorang demi seorang.

Harakah keluaran terbaru yang berada di pasaran sekarang menyiarkan kenyataan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk tidak membubarkan dewan sekiranya wujud perbezaan satu kerusi di antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Situasi yang berlaku di Kelantan sekarang hampir sama dialami Parti Buruh yang memerintah New Zealand sekarang, di mana parti itu hanya menang 51 daripada 120 kerusi diperuntukan.

Bagaimanapun parti itu masih dapat mentadbir kerajaan dengan ‘simple majority’. Dan keadaan kerajaan di negara itu bertambah kukuh apabila Parti Buruh mengadakan kerjasama parti kecil iaitu Green Party dan First Party.

Lebih istimewa lagi kerana kedua-dua parti itu tidak berada dalam kerajaan yang dibentuk Parti Buruh. Pentadbiran negara itu berjalan tanpa sebarang masalah.

Wan Abdul Rahim yang juga Timbalan Pengarah II, Jabatan Pilihan raya PAS Pusat turut berada di New Zealand ketika pilihan raya negara itu berlangsung September lalu sebagai anggota pemantau dari luar.

Katanya, situasi yang berlaku di Kelantan dan New Zealand bukan perkara asing kerana ia menjadi kebiasaan bagi mana-mana negara yang tidak dapat mendapat majoriti dua pertiga bagi membentuk kerajaan.

Ditanya sekiranya ditimbulkan usul tidak percaya terhadap kerajaan, Wan Abdul Rahim berkata, beliau akan melihat terlebih dahulu alasan yang dikemukakan.

“Adalah menjadi hak Speaker untuk membuat keputusan menerima atau menolak setiap usul yang dikemukakan sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Menurutnya bagi usul biasa, ia perlu dikemukakan dalam tempoh dua minggu, manakala usul luar biasa ia boleh dikemukakan dengan meminta penangguhan sementara persidangan dewan bagi membincangkan usul tersebut.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home