Politik dan Pilihanraya

Gerakkan Jentera Penerangan Bantu Pengkalan Pasir - Ahmad Awang


SEMANGGOL, Perak, 7 Nov (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Haji Ahmad Awang mengarahkan semua jentera penerangan PAS seluruh negara digerakkan segera bagi membantu PAS dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, Kelantan yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Katanya, persediaan mereka hendaklah dibuat dari sekarang untuk membolehkan mereka dihantar ke sana.

"Anggota penerangan peringkat pusat, Badan Perhubungan PAS negeri, Dewan Pemuda PAS, Dewan Muslimat dan Nisa' di negeri-negeri harus melengkapkan diri segera untuk turun padang di sepanjang kempen sehingga ke hari mengundi di Kelantan itu nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perak menyatakan demikian selepas menyampaikan Sumbangan Bantuan dan Duitraya Sempena Aidilfitri di Kuliah Tasawwur Islami, Simpang Empat Semanggol (BAKTI) disini.

Seramai 300 orang yang layak telah menerima bantuan di majlis yang dianjurkan setiap tahun tersebut.

Adun Pengkalan Pasir, Kelantan Allahyarham Wan Abdul Aziz Wan Jaafar 55, telah meninggal dunia kerana kanser hati di Pusat Perubatan Kota Bharu (KBMC) pada 6.30 pagi 31 Oktober lalu.

Mengikut peraturan yang ada, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) diberi tempoh 60 hari dari tarikh pemakluman rasmi kekosongan kerusi DUN.

Media mulakan perang
Memandangkan pihak media Umno telah mula menjalankan 'perang' dalam berita-berita mereka, jentera penerangan PAS haruslah juga bersedia menangkis segala tohmahan dan dakwaan palsu mereka mulai dari sekarang, ujarnya.

"Walau pun pilihanraya belum lagi diisytiharkan oleh SPR tapi pihak media BN seolah-olah telah pun memulakan kempen mereka menghentam parti kita," ujar beliau.

Bagi negeri Perak, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, beliau akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perancangan untuk membantu PAS Kelantan.

Beliau berpendapat, pilihan raya ini adalah satu ujian besar samada kepada PAS Kelantan khasnya atau BN. Ini kerana majoriti kecil yang diperolehi PAS dalam pilihan raya umum lalu.

"Walau bagaimana pun, saya yakin dengan kerja keras dari segenap penjuru dan tenaga, DUN Pengkalan Pasir akan dapat kita tawan semula," katanya.

Ini berdasarkan prestasi baik yang ditunjukkan Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Aziz serta pelbagai pembaharuan yang dilakukan beliau dan barisan Exconya, kata beliau.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan BN agar pilihanraya kecil ini berjalan dengan telus tanpa dirosakkan dengan apa-apa insiden negatif.

"Kali ini rakyat ingin melihat SPR membuat kerjanya dengan betul dan amanah dalam mengadilikan tugas-tugasnya untuk mengelakkan dari berulang lagi perbuatan pelbagai jenis penipuan dari teknik dalaman sehingga dapat dilihat dengan terang-terang," ujar beliau.

PAS Pahang hantar jentera
Sementara itu, di BANDAR JENGKA, Pahang, Pesuruhjaya PAS Pahang memaklumkan, PAS Pahang akan menghantar pasukan petugas pilihan rayanya bagi membantu PAS Kelantan dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir.

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan perkara itu dalam satu majlis menyampai sumbangan kepada warga Emas, Anak Yatim dan Armalah di Felda Siantan (Jengka 19).

Menurutnya, seperti masa lalu, PAS Pahang tidak ketinggalan menghantar petugasnya dalam semua pilihan raya kecil yang disertai PAS di Malaysia Timur (Sarawak).

Katanya selain membantu jentera pilihan raya PAS Kelantan, para petugas PAS itu juga berpeluang menimba ilmu dan pengalaman daripada jentera pilihan raya PAS Kelantan yang lebih berpengalaman.

Dalam raya umum March 2004, Wan Abdul Aziz Jafaar mengalahkan calon barisan Nasional (BN) Hanafi Mamat dengan majoriti mudah 56 undi, Calon BN memperolehi undi 7112 manakala Wan Abdul Aziz memperolehi 7168 undi. Jumlah undi rosak ialah 196, Jumlah peratus pengundian ialah 77.64 peratus.

Pada majlis sama Tuan Ibrahim menyampaikan sumbangan beras dan wang tunai kepada 43 penerima dari kalangan penduduk di Felda berkenaan. - Ekmal Yusof

0 Comments:

Post a Comment

<< Home