Politik dan Pilihanraya

Pengajaran Daripada PRU2004

Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir akan berlangsung tidak lama lagi. Dalam PRU2004, PAS memenangi kerusi DU tersebut dengan kelebihan undi hanya sebanyak 55 undi.

Menyedari penipuan besar-besaran yang dilakukan oleh UMNO dan kerajaan BN dalam PRU tersebut, yang melibatkan pelbagai agensi Kerajaan dan semi Kerajaan, seperti Suruhanjaya Pilihanraya, Jabatan Pendaftaran Negara, Polis dan mass media, apakah PAS sudah mengambil pengajaran dan berusaha mengatasi penipuan berkenaan?

Tentulah banyak faktor yang menyebabkan kekalahan PAS dalam PRU2004 yang lalu. Akan tetapi, salah satu faktor utamanya ialah penipuan yang tidak ada tolak bandingnya dalam sejarah PRU di negara ini.

Tidak semua unsur-unsur penipuan ini boleh ditangani oleh PAS dengan mudah, tetapi terdapat unsur-unsur yang mungkin boleh dikurangkan kesannya terhadap keputusan pilihanraya kecil ini. Salah satu daripadanya ialah Senarai Pendaftaran Penggundi.

Dalam pilihanraya kecil ini, nampaknya senarai yang digunakan dalam PRU2004 lalu akan digunakan dengan dikemas kini. Kalau Terengganu boleh dijadikan sebagai rujukan, dapatlah dipastikan bahawa senarai inilah tempat berlakunya penipuan paling besar.

Contoh hidup yang boleh diberikan di sini ialah kes peti undi Kampong Penang dalam DUN Bukit Besi, Dungun. Senarai Pengundi yang disediakan oleh SPR untuk peti undi ini pada 2004 mengandungi seramai kira-kira 500 orang pengundi berdaftar. Bilangan ini bertambah kira-kira 150 orang pengundi berbanding senarai untuk pilihanraya sebelumnya, 1999.

Apabila diteliti, timbul beberapa tanda tanya dan fakta. Pertama, apakah sebuah kampong seperti Kampong Penang itu munasabah menerima tambahan pengundi sebesar itu, kira-kira 40%. Tanpa pembangunan yang ketara di kampong berkenaan, adalah hampir mustahil untuk mendapat penambahan pengundi yang sedemikian besar. Kedua, apabila nama-nama dalam senarai itu disemak, didapati nama kira-kira 150 orang pengundi tidak dikenali. Kalau hendak dikatakan nama-nama tambahan itu merupakan anak-anak muda tempatan yang berada di luar kawasan dan berdaftar untuk mengundi di kampong mereka, mereka tidak dikenali oleh penduduk kampong. Nama-nama inilah yang digunakan sama ada oleh pengundi-pengundi dari luar yang dibawa masuk oleh UMNO/BN pada hari mengundi atau pengundi-pengundi tempatan yang diupah untuk mengundi lebih daripada satu kali.

Kalau satu kawasan peti undi seperti di Kampong Penang boleh menampung kira-kira 120 pengundi "hantu", maka tidak hairanlah kalau seluruh kawasan DUN Bukit Besi mempunyai bilangan pengundi "tambahan" sebanyak kira-kira 3000 orang dan kawasan Parlimen Dungun mempunyai bilangan pengundi "tambahan" seramai kira-kira 10000 orang. Angka-angka inilah lebih kurang merupakan bilangan majoriti kemenangan UMNO/BN di Dungun, khususnya bagi DUN Bukit Besi dan Parlimen Dungun.

PAS perlulah mengatasi penipuan ini dalam pilihanraya kecil ini. Adalah dipercayai Jawatankuasa Posmortem PRU2004 telah mengambil langkah-lanhkah yang sewajarnya bagi mengatasi penipuan jenis ini.

Satu perkara lain yang perlu diberi perhatian serius oleh PAS ialah mengenai Peti Undi itu sendiri. Malaysia didapati adalah di antara negara dunia yang masih mengguna peti undi yang tidak telus (tidak transparent). Dengan cat hitamnya, sesetengah peti undi itu nampaknya tidak pernah ditukar sejak Malaysia mengadakan pilihanraya umum, seolah-olah peti-peti tersebut mempunyai "hikmat"nya yang tersendiri. Banyak perkara yang mencurigakan boleh berlaku dengan peti besi yang demikian. Oleh itu, SPR perlulah didesak supaya menukarkan peti-peti besi itu dengan peti-peti undi yang telus dan lebih memberi keyakinan.

Dalam semua hal ini, usaha dan desakan hendaklah dibuat dengan gigih dan berterusan supaya pilihanraya di negara ini benar-benar menepati ciri-ciri demokrasi yang tulin. Patutlah disedari, UMNO/BN selamanya akan berusaha untuk memenangi pilihanraya dengan apa cara sekali pun. Kalau itulah di antara penipuan yang dilakukan pada masa lalu, adalah dipercayai selesai sahaja PRU2004, UMNO/BN sudah pun memikirkan bagaimana untuk memenangi pilihanraya akan datang dengan pelbagai penipuan yang baru. PAS patutlah berfikir selangkah lebih kedepan daripada UMNO/BN dalam hal ini dan hal-hal lain juga. - benzaini

www.tranungkite.net

0 Comments:

Post a Comment

<< Home